
BEIJING, China: Gempa bumi bermagnitud 5.2 melanda wilayah Guangxi di selatan China awal pagi tadi, mengorbankan dua individu serta menyebabkan 13 bangunan runtuh, menurut laporan media kerajaan.
Agensi berita negara, Xinhua melaporkan gempa itu berlaku di bandar Liuzhou pada 12.21 tengah malam waktu tempatan (1621 GMT). Bagaimanapun, United States Geological Survey merekodkan gempa berkenaan pada magnitud 5.0.
Penyiar rasmi negara, China Central Television (CCTV) mengenal pasti mangsa yang maut sebagai pasangan suami isteri, masing-masing lelaki berusia 63 tahun dan wanita berusia 53 tahun.
Menurut CCTV, seorang lelaki berusia 91 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang berjaya ditemukan selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Rakaman video yang disiarkan penyiar itu menunjukkan pasukan penyelamat mengusung mangsa yang cedera menggunakan pengusung.
Pihak berkuasa turut memindahkan lebih 7,000 penduduk dari kawasan terjejas.
Video lain yang disiarkan CCTV memaparkan orang ramai bertempiaran keluar dari bangunan tinggi selain timbunan runtuhan di sekitar kediaman yang musnah.
Pasukan penyelamat dilihat meredah runtuhan sambil anjing pengesan digunakan bagi mengesan tanda-tanda mangsa yang masih hidup.
Petugas kecemasan yang memakai topi keselamatan turut menggunakan jentera pengorek untuk membersihkan sisa runtuhan.
Gempa bumi merupakan kejadian yang agak kerap berlaku di China.
Pada Januari 2025, gempa bumi dahsyat yang melanda wilayah terpencil Tibet mengorbankan sekurang-kurangnya 126 nyawa serta merosakkan ribuan bangunan. – AFP