

PETRA JAYA: Isu permit bas sekolah melebihi usia 30 tahun mencetuskan perdebatan antara Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) hari ini.
Ketika Roland Sagah menggulung ucapan bagi kementeriannya pada sidang DUN, Chong bangun mencelah dengan membangkitkan persoalan berhubung status permit lima bas sekolah yang didakwa berusia melebihi 30 tahun.
Isu tersebut timbul susulan kenyataan Roland Sagah yang memaklumkan bahawa kesemua 30 bas di bawah Program Bas Sekolah Percuma Sarawak, termasuk lima bas melebihi usia 30 tahun, telah menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan disahkan selamat untuk digunakan di jalan raya.
Bagaimanapun, Chong mendakwa persoalan mengenai pematuhan peraturan sedia ada yang mengehadkan penggunaan kenderaan berusia lebih 30 tahun sebagai bas sekolah atau pengangkutan awam, tidak sepatutnya diberikan permit operasi.
Menurut Chong lagi, ketiadaan permit sah bagi kenderaan berkenaan boleh memberi implikasi terhadap perlindungan insurans sekiranya berlaku kemalangan dan mahu kerajaan negeri mempertimbangkan bantuan bagi menggantikan bas-bas lama tersebut.

“Peraturan jelas menetapkan had usia kenderaan. Tanpa permit yang sah, ia boleh menjejaskan perlindungan insurans sekiranya berlaku kemalangan,” kata ADUN Padungan itu.
Bagaimanapun, Roland Sagah menyatakan bahawa semua bas terbabit telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan untuk beroperasi, sambil menegaskan bahawa isu pelesenan adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
“Jika kamu fikir kami salah, maka pengerusi kamu di LPKP itu lebih salah lagi,” katanya menujukan kepada Chong Chieng Jen.
Beliau turut mencadangkan agar Chong merujuk perkara itu kepada Pengerusi LPKP, Michael Kong Feng Nian bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Mereka telah dibenarkan beroperasi oleh pihak berkuasa berkaitan. Ini bukan keputusan kementerian,” katanya.
Oleh Norman B