
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 (WHA79) di Geneva mulai hari ini hingga 23 Mei, yang merupakan fasa penting dalam usaha negara menterjemahkan pembaharuan domestik kepada impak global.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penyertaan Malaysia pada perhimpunan tahunan menteri kesihatan, pegawai kanan dan pembuat dasar dari negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu mencerminkan peralihan daripada pengiktirafan global ke arah melaksanakan pembaharuan kesihatan yang menyediakan keperluan menyeluruh kepada rakyat untuk manfaat awam.
Menurut kenyataan itu, kemuncak utama lawatan itu ialah Kenyataan Negara Malaysia, yang dijadualkan disampaikan esok dengan negara bakal mengetengahkan sokongan terhadap pembaharuan kesihatan yang mengutamakan rakyat serta bantuan kemanusiaan tanpa halangan di seluruh dunia.
“Kepimpinan intelektual Malaysia akan diperlihatkan melalui 18 intervensi strategik yang menangani isu kritikal seperti malaria, kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit (NCD), dan penjagaan kesihatan yang lebih mampu milik dan mudah diakses,” menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, Dzulkefly juga dipelawa untuk menyampaikan ucaptama dan mengetuai perbincangan dalam enam forum antarabangsa peringkat tinggi yang memberi tumpuan kepada kesihatan paru-paru, kesihatan mata, sains tingkah laku, hepatitis dan penyakit yang jarang berlaku.
Di peringkat serantau, KKM memaklumkan Malaysia sedang menerajui cadangan Deklarasi ASEAN mengenai Penyakit Jarang Berlaku yang bertujuan untuk memastikan pesakit terutamanya kanak-kanak menerima diagnosis lebih awal dan penjagaan khusus yang saksama.
Di dalam negara pula, Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Sains Tingkah Laku yang bakal dilancarkan akan memperkukuh kempen ‘Perang Memerangi 5S’ yang menyasarkan gula, merokok, garam, stigma dan gaya hidup tidak aktif sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) dan agenda kesihatan mental, maklum kementerian itu.
“Perbincangan kerjasama dua hala strategik juga dijadual diadakan dengan Sepanyol untuk melihat kemungkinan mengadaptasi model pendermaan organ negara itu, yang dianggap sebagai ‘standard emas’ global untuk pesakit Malaysia.
“Malaysia juga akan mengadakan perbincangan dengan Singapura, Vietnam dan Bangladesh bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam kesihatan digital dan keselamatan kesihatan,” menurut kementerian itu.
Sementara itu, KKM memaklumkan kejayaan Malaysia dapat menyediakan ubat-ubatan penting yang mampu milik telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, dengan Medicines Patent Pool memilih negara sebagai kajian kes global untuk penerajuan dalam tindak balas HIV kebangsaan.
Menurut kementerian itu, pencapaian penting ini mengukuhkan komitmennya di bawah rangka kerja MADANI untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang saksama, moden dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia. – Bernama