
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari ini walaupun sentimen berhati-hati berterusan berikutan ketegangan geopolitik yang meningkat di Asia Barat.
Pada 8.00 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9495/9605 berbanding dolar AS daripada 3.9515/9580 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan kebuntuan yang berpanjangan antara AS dan Iran terus mewujudkan kebimbangan mengenai konflik yang lebih meluas di rantau tersebut.
“Kebuntuan antara AS dan Iran dijangka berlarutan dan serangan baru-baru ini ke atas kemudahan nuklear Emiriah Arab Bersatu menunjukkan bahawa perang itu mungkin akan berpanjangan.
“Seterusnya, penutupan Selat Hormuz juga mungkin akan berlaku kerana kedua-dua negara akan menggunakan laluan laut tersebut sebagai kelebihan strategik masing-masing,” katanya kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding pound kepada 5.2572/2718 daripada 5.2749/2835 semasa ditutup pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding euro kepada 4.5873/6001 daripada 4.5948/6024 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4863/4934 daripada 2.4927/4968 sebelum ini.
Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.0684/1083 daripada 12.0989/1247, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0824/0915 daripada 3.0871/0927 dan tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 224.4/225.1 daripada 224.5/225.0 sebelum ini.
Mata wang tempatan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.40/6.42 daripada 6.40/6.41 sebelum ini.- Bernama