Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Keputusan bijak AirAsia guna Airbus A220-300
  • KOLUMNIS

Keputusan bijak AirAsia guna Airbus A220-300

Utusan Sarawak 7 hours ago

SEJAK memulakan operasi sebagai syarikat penerbangan tambang rendah pada 2001, AirAsia tidak pernah berhenti mencipta kejutan meskipun pada awalnya ramai yang memandang dengan penuh skeptikal.

Daripada hanya dua pesawat dan satu destinasi, syarikat ini dalam masa yang singkat berjaya melenyapkan keraguan yang selama ini dianggap mustahil.

Dengan tambang serendah seringgit, mereka yang dahulunya hanya mampu berangan, akhirnya berpeluang merasai pengalaman terbang di langit biru.

Slogan yang pada awalnya mungkin kedengaran remeh, ‘Kini Sesiapa Pun Boleh Terbang’ akhirnya menjadi taruhan paling berkesan dalam menarik hampir 800 juta penumpang hingga kini, semuanya menikmati layanan mesra kru penerbangan yang sudah sinonim dengan identiti merah AirAsia.

Melangkah ke tahun ke-25 dalam persada penerbangan, AirAsia tidak lagi sekadar bergelar jaguh tempatan malahan berjaya memahat nama di peringkat antarabangsa menerusi pencapaian luar biasa sebagai penerima Anugerah Skytrax sebanyak 16 kali berturut-turut.

Pengiktirafan ini membuktikan bahawa perkhidmatan tambang rendah tidak semestinya bermaksud kualiti rendah dalam aspek operasi dan layanan. Secara tuntasnya, jika tidak berani mencabar status quo, maka ia bukanlah AirAsia namanya.

Dalam tempoh suku abad ini, reputasi dan kekentalan mereka berulang kali diuji ibarat mendepani gelora udara yang menggegarkan pesawat namun mereka tetap mampu bertahan dan terus terbang dengan gah.

Setiap kali jatuh, syarikat ini seolah-olah mempunyai daya tahan luar biasa untuk bangkit semula dengan strategi lebih agresif dan inovatif.

Walaupun baru sahaja pulih daripada tekanan kewangan yang amat berat akibat pandemik global, syarikat kini harus berhadapan dengan cabaran baharu ekoran krisis geopolitik yang berlaku di wilayah Asia Barat.

Konflik tersebut telah menyebabkan gangguan kepada bekalan minyak dunia yang secara langsung menjejaskan harga pasaran bahan api global. Bagi sebuah syarikat penerbangan, kos bahan api boleh merangkumi hampir separuh daripada kos operasi keseluruhan.

Keputusan AirAsia untuk tidak melakukan mekanisme lindung nilai atau hedging terhadap harga minyak pada tempoh tertentu telah menambah beban aliran tunai syarikat.

Situasi ini memaksa pihak pengurusan untuk mengambil langkah drastik termasuk penjadualan semula penerbangan bagi beberapa laluan sedia ada demi memastikan kelangsungan perniagaan.

Namun, sejarah telah membuktikan bahawa AirAsia paling cemerlang apabila mereka berada dalam keadaan terhimpit. Rintangan ekonomi tersebut sama sekali tidak menjadi penghambat untuk AirAsia melakukan satu lagi anjakan strategik dalam aspek pemilikan aset udara masa hadapan.

Selepas lebih dua dekad sinonim dengan keluarga Airbus A320 dan A330, AirAsia kini mengalihkan perhatian kepada Airbus A220-300. Keputusan ini mengejutkan banyak pemerhati industri kerana A220 mewakili falsafah reka bentuk yang berbeza daripada pesawat yang selama ini mendominasi armada syarikat tersebut.

A220-300 pada asalnya dibangunkan oleh Bombardier dari Kanada menerusi program CSeries sebelum diambil alih oleh Airbus. Oleh itu, pesawat ini direka secara khusus untuk memenuhi keperluan penerbangan moden yang lebih menjimatkan bahan api dan mesra alam tanpa perlu melalui evolusi reka bentuk seperti kebanyakan pesawat generasi lama.

Pesawat ini dibangunkan menggunakan teknologi generasi moden yang menggabungkan bahan komposit lebih ringan serta reka bentuk aerodinamik yang lebih cekap. Hasilnya, ia bukan sahaja menjimatkan penggunaan bahan api, tetapi turut menawarkan ketahanan tinggi terhadap kakisan.

Ciri ini sekali gus mengurangkan keperluan penyelenggaraan berat dalam jangka panjang dan meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan. Hal ini sangat penting bagi sebuah syarikat yang menawarkan harga tambang rendah kepada pelanggan.

Perjanjian bernilai AS$19 billion untuk membeli 150 pesawat A220-300 daripada Airbus ini mencatat rekod tempahan terbesar di dunia oleh mana-mana syarikat penerbangan.

Perjanjian ini turut menawarkan keupayaan penyesuaian strategik untuk meningkatkan komitmen sehingga 300 pesawat bagi memenuhi permintaan pasaran yang dinamik.

Keputusan berani ini bakal melakar peta perjalanan yang baharu apabila penerbangan jarak jauh yang secara tradisi menggunakan pesawat badan lebar akan mula digantikan dengan pesawat badan sempit.

Pesawat A220 ini mampu terbang sehingga 3,600 batu nautika atau kira‑kira 6,700 kilometer. Ia juga boleh beroperasi pada ketinggian sehingga 12,500 meter yang memberikan kelebihan untuk menghubungkan destinasi berpotensi tinggi dan mempunyai permintaan khusus tanpa perlu bergantung kepada pesawat besar yang kurang ekonomik.

Ciri‑ciri teknikal ini membolehkan AirAsia menguji pasaran baharu selain dapat membina permintaan secara bertahap dan meningkatkan kekerapan penerbangan di laluan utama.

Kekerapan yang lebih tinggi sangat penting untuk penumpang kerana ia memberi lebih banyak pilihan waktu kepada pelancong dan fleksibiliti jadual kepada pengembara perniagaan.

Oleh itu, pesawat yang lebih kerap berada di udara akan memberikan pulangan lebih baik kepada syarikat. Setiap jam ia terbang, ia menjana hasil yang membantu menampung kos operasi.

Sebaliknya, setiap jam ia dibiarkan di darat membawa maksud potensi pendapatan yang hilang dan penggunaan aset yang tidak optimum.

Pesawat ini dilengkapi dengan enjin berkembar Pratt and Whitney Geared Turbofan yang mampu mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi karbon sehingga 25 peratus bagi setiap tempat duduk.

Kelebihan ini membolehkan AirAsia memenuhi piawaian kawalan karbon antarabangsa yang semakin ketat sambil mengekalkan kos yang kompetitif.

Berbeza dengan A320, pesawat ini menawarkan konfigurasi tempat duduk dua‑tiga yang lebih selesa berbanding susunan tiga‑tiga dalam kebanyakan pesawat badan sempit konvensional.

Selain kabinnya yang lebih senyap, tingkap yang lebih besar turut membenarkan kemasukan cahaya semula jadi menjadikan pengalaman penerbangan lebih terang, luas dan selesa untuk penumpang.

Walaupun kapasiti sekitar 160 tempat duduk lebih rendah berbanding Airbus A320 yang lazimnya membawa sekitar 180 penumpang, konfigurasi ini sebenarnya memberikan kelebihan tersendiri.

Kapasiti yang lebih realistik memudahkan syarikat mencapai faktor muatan yang sihat, sekali gus meningkatkan potensi keuntungan bagi setiap penerbangan.

Keseragaman armada yang dibawa oleh keluarga A220 ini juga memberikan impak positif yang luas terhadap pengurusan organisasi.

Apabila syarikat menggunakan jenis pesawat yang seragam, kos latihan bagi juruterbang, juruteradan kru kabin dapat dikurangkan dengan ketara. Hal ini kerana mereka tidak perlu menguasai pelbagai platform yang berbeza, sebaliknya boleh memberi tumpuan kepada satu jenis pesawat yang sama.

Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses latihan, tetapi juga meningkatkan kecekapan operasi harian kerana setiap pasukan bekerja dalam ekosistem teknikal yang seragam dan lebih mudah diselaraskan.

Pengurusan logistik juga menjadi lebih mudah melalui penyederhanaan inventori alat ganti dan proses penyelenggaraan di semua pangkalan operasi.

Selain itu, pesanan dalam kuantiti yang besar memberikan AirAsia kuasa tawar-menawar yang lebih kuat dengan pihak pengeluar dan pembekal servis secara tidak langsung dapat membantu menstabilkan margin keuntungan dalam jangka masa panjang.

AirAsia membuktikan keberaniannya mencabar norma industri sebagai peneraju syarikat penerbangan tambang rendah di Asia. Setiap kali berdepan tekanan, ia menyesuaikan diri dengan pantas, mencari ruang baharu untuk berkembang dan tidak pernah gentar mengubah pendekatan apabila keadaan menuntutnya.

Keupayaan untuk bangkit dan mengolah strategi tepat ser taterus mara inilah yang menjadikan AirAsia kekal relevan dalam landskap penerbangan yang sentiasa berubah. Ia akan sentiasa mencari peluang agar setiap keraguan berubah menjadi kepercayaan.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.

Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Cabaran, kekangan industri media zaman sekarang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.