Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Guru bitara nadi pembangunan Sarawak
  • Utara
  • WILAYAH

Guru bitara nadi pembangunan Sarawak

Utusan Sarawak 6 hours ago
AMANAT…Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin semasa menyampaikan amanat beliau pada Majlis Makan Malam Hari Guru, Guru Bersara dan Kakitangan Berpindah 2026 Sekolah Kebangsaan Tudan di Miri, semalam.

MIRI: Peranan guru sebagai tunjang utama pembangunan modal insan terus diiktiraf apabila golongan pendidik disifatkan sebagai penggerak utama dalam membentuk masa depan negeri dan negara.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, tema Hari Guru 2026 ‘Guru Bitara, Nadi Negara’ amat bertepatan dengan tanggungjawab besar yang digalas para pendidik dalam melahirkan generasi berilmu, berintegriti dan berdaya saing.

Menurutnya, guru bukan sekadar menyampaikan ilmu di bilik darjah, malah berperanan membentuk sahsiah, membimbing masa depan serta mencungkil potensi setiap murid.

“Kadang-kadang seorang guru mungkin tidak sedar bahawa satu nasihat, satu kata-kata semangat atau satu bentuk perhatian yang diberikan mampu mengubah kehidupan seseorang anak untuk selama-lamanya.

“Sebab itu profesion perguruan adalah satu profesion yang sangat mulia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Hari Guru, Guru Bersara dan Kakitangan Berpindah 2026 Sekolah Kebangsaan Tudan di sini, semalam.

Lee berkata, walaupun dunia pendidikan kini semakin mencabar dengan perkembangan teknologi serta perubahan sosial, peranan guru tetap tidak dapat diganti.

Pada masa sama, beliau menegaskan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terus memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan termasuk pelaksanaan Skim Pendidikan Tertiari Percuma bermula tahun ini.

Katanya, inisiatif itu bertujuan membantu anak-anak Sarawak melanjutkan pengajian tinggi tanpa beban kewangan selain melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam bidang strategik seperti digital, teknologi hijau, TVET dan kecerdasan buatan.

“Namun semua dasar dan bantuan ini tidak akan berjaya tanpa peranan guru-guru yang berada di barisan hadapan mendidik dan membimbing anak-anak kita setiap hari,” ujarnya.

Dalam pada itu, Lee turut memberi jaminan akan terus menyokong keperluan SK Tudan melalui pelbagai bentuk bantuan dan peruntukan termasuk penaiktarafan kemudahan sekolah seperti pembinaan laluan berbumbung dan pondok menunggu demi keselesaan murid serta warga sekolah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru yang bakal bersara dan kakitangan yang berpindah atas segala jasa serta pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat di sekolah berkenaan.

“Teruskan mendidik dengan penuh semangat, keikhlasan dan kasih sayang. Segala jasa cikgu-cikgu semua amat besar nilainya dalam membentuk generasi masa depan,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling

Continue Reading

Previous: Sarawak Sunrise Aerodance Bintulu 2026 terima sambutan hangat, satukan komuniti dan gaya hidup sihat
Next: Perarakan “Niti Daun” simbol perpaduan kaum sempena Gawai Dayak di Sri Aman

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.