
BINTULU: Program Sarawak Sunrise Aerodance Edisi Bintulu 2026 berjaya menarik hampir 400 peserta daripada pelbagai latar belakang, sekali gus menyokong usaha memperkasa gaya hidup sihat dan keterangkuman komuniti selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming program berkenaan bukan sekadar aktiviti kecergasan, malah menjadi platform penting dalam mengeratkan perpaduan dan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan program Sarawak Sunrise Aerodance Edisi Bintulu 2026 yang berlangsung di sini, hari ini.
“Program ini bukan hanya sekadar aktiviti senaman, tetapi satu platform untuk kita menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Tambah beliau, usaha berasaskan komuniti seperti ini perlu terus diperkasakan kerana memberi impak langsung terhadap kesejahteraan rakyat.
“Apabila masyarakat aktif dan sihat, secara tidak langsung kita juga membina komuniti yang lebih harmoni dan bersatu padu,” ujarnya.
Menurut beliau, aktiviti Aerodance bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mewujudkan suasana komuniti yang inklusif, ceria dan positif.
“Dalam era moden yang penuh tekanan ini, program seperti ini amat penting untuk memastikan masyarakat tidak hanya sihat dari segi fizikal, tetapi juga mental dan sosial,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Bintulu berpotensi menjadi hab utama penganjuran program gaya hidup sihat di Sarawak pada masa akan datang.
“Saya percaya Bintulu mampu menjadi pusat aktiviti komuniti sihat yang boleh menjadi contoh kepada kawasan lain,” katanya.

Sementara itu, Pegawai yang bertanggungjawab di Bintulu, Chuo Ching Teck berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan dan mencerminkan perubahan positif dalam gaya hidup masyarakat setempat.
“Penyertaan hampir 400 peserta ini menunjukkan masyarakat semakin terbuka dan menerima aktiviti kecergasan berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau berkata program tersebut bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti senaman, malah berfungsi sebagai platform mengeratkan hubungan masyarakat melalui pendekatan yang santai dan menyeronokkan.
“Matlamat kita adalah untuk mewujudkan ruang interaksi sosial yang sihat dan inklusif, di mana semua peringkat umur boleh mengambil bahagian,” jelasnya.
Menurut beliau, edisi Bintulu merupakan stesen kedua bagi Siri Sarawak Sunrise Aerodance 2026 selepas Miri, dan merupakan kali pertama acara itu dianjurkan di bandar ini.
“Ini adalah satu permulaan yang baik untuk Bintulu dan kita berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Tambah beliau, program ini dijangka akan diperluaskan ke lebih banyak lokasi di seluruh Sarawak bagi menyokong agenda negeri ke arah masyarakat yang lebih sihat, aktif dan bersatu padu.
Penutup program menyaksikan suasana penuh meriah apabila para peserta terus bersemangat mengikuti sesi Aerodance hingga ke akhir acara, sekali gus mencerminkan sambutan positif terhadap usaha mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Angellie Stephen Raja, pemimpin komuniti, jurulatih, penaja, sukarelawan serta para peserta.
Oleh Faizah Muzidi