
BEKENU: Program Komuniti Transformasi Kemahiran Sempena Gawai 2026 dilihat mampu menjadi platform penting dalam memperkasakan masyarakat luar bandar menerusi perkongsian ilmu, latihan kemahiran dan pembangunan ekonomi komuniti.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, peserta tidak perlu takut untuk mempelajari perkara baharu kerana ilmu dan kemahiran yang dipelajari hari ini mampu menjadi kunci kejayaan pada masa hadapan.
Menurutnya, program berkenaan menawarkan pelbagai kursus yang relevan dengan keperluan semasa seperti Kursus Penyediaan Bun Beraneka, Pemasaran Digital, Asas AI Generatif, Simen Fero, Solekan Glam Gawai, Terapi Urutan Wajah serta Kursus Sos Perapan BBQ.

Katanya, semua kursus tersebut bukan sahaja memberi nilai tambah kepada peserta, malah membuka peluang kepada masyarakat untuk memulakan perniagaan kecil, meningkatkan kemahiran diri dan menjana sumber pendapatan baharu.
“Apa yang lebih membanggakan, program ini turut memperkenalkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) kepada komuniti luar bandar.
“Ini membuktikan masyarakat di kawasan Bekenu bersedia bergerak seiring dengan arus transformasi digital negara,” katanya.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada majlis penutupan Program Komuniti Transformasi Kemahiran Sempena Gawai 2026 di rumah panjang Tuai Rumah Malakus Enteri, Tiris di sini hari ini.
Beliau turut memuji pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi pendawaian bersama komuniti yang disifatkan amat bermakna kerana bukan sahaja membantu dari sudut kemahiran teknikal, malah meningkatkan kesedaran tentang aspek keselamatan dan kemudahan asas di rumah panjang.


Dalam pada itu, beliau percaya usaha sedemikian mampu memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat, sekali gus menjadikan kolej komuniti sebagai pemangkin pembangunan masyarakat.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kolej Komuniti Miri kerana terus aktif melaksanakan program komuniti yang memberi impak besar kepada rakyat, selari dengan aspirasi kerajaan dalam memperkasa modal insan dan membangunkan masyarakat luar bandar yang berkemahiran, berdikari dan berdaya saing,” ujarnya.
Hadir sama ialah Tr. Malakus Enteri, Pengarah Kolej Komuniti Miri Ts. Harmen Muda dan Ketua Gerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu Kaunselor Hadijah Sheikh Kasim.
Oleh Adum Liu