
KUCHING: Dalam ratusan wajah guru yang pernah hadir sepanjang perjalanan hidupnya sebagai seorang murid, ada dua ungkapan yang sehingga kini kekal terpahat menjadi prinsip hidup Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
‘Tuhan tidak pernah membebankan kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita tanggung’ dan ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu, dua nasihat tersebut bukan sekadar kata-kata biasa daripada seorang pendidik, tetapi menjadi pegangan yang membentuk ketahanan diri, kematangan serta cara beliau mendepani cabaran kehidupan sehingga hari ini.
Sempena sambutan Hari Guru, Abdullah berkata beliau mungkin bukan pelajar paling cemerlang ketika di bangku sekolah, malah mengakui dirinya antara pelajar yang agak nakal terutama semasa di sekolah menengah.
Namun katanya, di sebalik ketegasan guru-gurunya ketika itu, terselit kasih sayang dan keikhlasan yang tidak pernah mampu dilupakan.
“Secara amnya saya seorang pelajar yang nakal terutama semasa di sekolah menengah. Saya sering ditegur, dimarahi malah pernah dirotan dan ditampar.
“Tapi tidak pernah sedetik saya membenci atau berdendam dengan guru saya kerana kesan paling ketara daripada hukuman itu ialah pembentukan tahap kematangan, kewarasan dan kekuatan jati diri yang cekal,” katanya ketika diminta mengulas sempena Hari Guru.
Menurut beliau, perkara yang paling melekat dalam ingatannya bukanlah subjek yang diajar di dalam kelas, tetapi cara guru-gurunya memainkan peranan sebagai pendidik dengan penuh jiwa dan kasih sayang.
“Saya kurang ingat tentang kesan pendidikan yang mereka ajar kerana saya bukan dalam kumpulan pelajar yang cerdik dan cemerlang.
“Tapi kenangan yang paling saya dakap sehingga kini ialah bagaimana mereka mendidik sambil mempamerkan belaian kasih sayang dan kemesraan hampir setanding ibu bapa atau seperti abang dan kakak kepada adik mereka,” katanya.
Abdullah berkata beliau membesar dalam keluarga yang dekat dengan dunia pendidikan apabila bapanya merupakan seorang guru, selain mempunyai dua adik yang baru bersara selepas lama berkhidmat sebagai guru sekolah.
Katanya, antara perkara yang paling menyentuh hati ialah apabila ramai bekas anak murid masih datang menziarahi adik-beradiknya setiap kali Hari Raya.
“Seorang wakil rakyat belum tentu diziarahi bekas pengundinya jika tidak lagi menjadi Yang Berhormat.
“Tetapi guru, jasa dan kasih sayang mereka terus diingati anak-anak murid walaupun sudah puluhan tahun berlalu,” katanya.
Beliau turut melihat wujud perbezaan sikap antara generasi pelajar dahulu dan sekarang, terutama dari segi adab serta penghormatan terhadap guru.
“Saya rasa murid generasi 1970-an dan 1980-an ramai takut dan sangat menghormati guru.
“Mungkin sebab itu jati diri, ketabahan dan kematangan kami agak berbeza dengan generasi sekarang yang ada segelintir bersikap biadab dan tidak menghormati guru mereka.
“Bila didikan tidak diberkati, setinggi mana pun tahap pendidikan seseorang, mungkin kehidupan tidak sepenuhnya tenang dan sentiasa berdepan pelbagai rintangan,” katanya.
Mengakhiri perkongsiannya, Abdullah menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik termasuk guru tadika dan guru mengaji yang menurutnya memainkan peranan besar dalam membentuk modal insan dan corak masyarakat negara ini.
“Ada sebab mengapa perkataan guru atau cikgu sentiasa dalam doa kami selain kesejahteraan ibu bapa.
“Pengorbanan, ketabahan dan kesungguhan semua warga pendidik sangat dihargai dan mulia. Semoga kehidupan mereka sentiasa dirahmati Tuhan dengan kasih sayang dan perlindungan-Nya,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat