Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Naik bot redah sungai demi didik anak pedalaman Baram
  • INSPIRASI

Naik bot redah sungai demi didik anak pedalaman Baram

Utusan Sarawak 7 hours ago
ALVA Samjun, 33 tahun, anak jati Bidayuh yang berkhidmat selama 9 tahun di pedalaman Baram.

KUCHING: Naik bot ekspres meredah sungai untuk ke sekolah bukan lagi perkara asing buat seorang guru muda di pedalaman Baram yang sudah sembilan tahun mencurahkan bakti demi memastikan anak-anak luar bandar tidak tercicir daripada arus pendidikan.

Bagi Alva Samjun, 33, pengalaman mengajar di kawasan pedalaman bukan sekadar tugas harian, tetapi perjalanan yang penuh cabaran, pengorbanan dan harapan terhadap masa depan anak muridnya.

Anak jati Bidayuh itu berkata, penempatan pertamanya selepas tamat pengajian terus membawanya ke Baram, jauh dari keselesaan bandar dan kemudahan moden.

ALVA Samjun sedang mengajar di dalam kelas.

Namun di situlah beliau belajar bahawa menjadi guru bukan hanya tentang mengajar di dalam kelas, tetapi tentang kesanggupan bertahan demi anak-anak yang dahagakan ilmu.

“Kadang-kadang memang penat, terutama apabila berdepan kekurangan kemudahan dan logistik. Tetapi setiap kali melihat semangat anak murid untuk belajar, rasa penat itu hilang.

“Masyarakat luar kadangkala hanya melihat luaran dan beranggapan kerjaya guru ini mudah serta mempunyai banyak cuti.

 PERJALANAN menaiki bot meredah sungai Baram demi tugas sebagai pendidik.

“Namun, apa yang sering tidak dilihat ialah persediaan di sebalik tabir termasuk masa malam yang digunakan untuk menyediakan bahan pengajaran, memikirkan perkembangan murid serta pengorbanan masa bersama keluarga demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak sempena Hari Guru.

Sepanjang sembilan tahun mengajar, antara perkara paling memberi kepuasan kepadanya ialah melihat pelajar pedalaman mampu bersaing dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) walaupun jauh daripada akses bandar.

“Ramai masih menganggap pelajar luar bandar ketinggalan, sedangkan mereka sebenarnya memiliki potensi besar jika diberi peluang dan bimbingan yang betul,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi pengalaman membimbing seorang murid yang pada awalnya sangat lemah dalam pelajaran sebelum akhirnya menunjukkan perubahan besar hasil usaha berterusan.

“Daripada seorang yang hampir putus asa, dia mula yakin dengan diri sendiri. Dari situ saya sedar, kadang-kadang murid cuma perlukan seseorang yang percaya kepada mereka,” luahnya.

Dalam era digital hari ini, Alva mengakui tugas guru semakin mencabar apabila generasi muda membesar bersama teknologi dan media sosial.

Namun baginya, teknologi bukan musuh kepada pendidikan jika digunakan dengan cara yang betul.

Disebabkan itu, beliau menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan atau gamification untuk menjadikan kelas lebih interaktif dan menarik perhatian pelajar.

“Murid sekarang cepat belajar teknologi, termasuk menggunakan AI untuk cari maklumat dan siapkan tugasan. Sebagai guru, kita juga perlu sentiasa belajar supaya tidak ketinggalan,” ujarnya.

Walaupun pernah melalui saat-saat melelahkan sepanjang mengajar di pedalaman, Alva berkata semangatnya untuk terus bertahan datang daripada perkembangan anak-anak muridnya sendiri.

“Melihat pelajar yang dahulunya malu dan kurang yakin kini mampu bercakap tentang cita-cita dan masa depan menjadi kepuasan terbesar buat dirinya sebagai seorang guru.

“Bila mereka berjaya, itu sebenarnya hadiah paling besar untuk kami,” luahnya.

Oleh Masrin Affirah

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Ali Sabri, bekas guru terus aktif kendali majlis dan program komuniti di Bintulu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.