Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Ba’kelalan perkasa gerak kerja akar umbi Pemuda GPS
  • Utara
  • WILAYAH

Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Ba’kelalan perkasa gerak kerja akar umbi Pemuda GPS

Utusan Sarawak 8 hours ago
PERGERAKAN Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’kelalan bersedia memperkukuh gerak kerja.

LAWAS: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’kelalan bersedia memperkukuh gerak kerja dalam usaha menyalurkan penerangan mengenai dasar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selaku tunjang pentadbiran Sarawak.

Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Ba’kelalan, Steve Lius berkata, semua jentera Pemuda PBB di cawangan itu perlu bergerak seiring ke peringkat akar umbi bagi berkongsi maklumat berkaitan pelbagai inisiatif daripada kerajaan GPS kepada masyarakat.

Menurutnya, sayap Pemuda perlu sentiasa peka terhadap kehadiran pihak luar yang secara tiba-tiba menganjurkan ceramah serta menyalurkan sumbangan tanpa pengetahuan wakil rakyat tempatan.

“Kepekaan terhadap perkembangan di setiap ranting perlu berada pada tahap tertinggi, lebih-lebih lagi menjelang musim pilihan raya kerana terdapat pelbagai usaha pihak luar yang cuba menggugat kestabilan Sarawak serta melemahkan GPS di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Ba’kelalan yang diadakan di sebuah hotel di Lawas, hari ini.

Steve yang juga Exco Pergerakan Pemuda PBB Sarawak turut memaklumkan bahawa Pemuda PBB Zon Utara sedang merancang pelaksanaan program berskala besar melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari dan Ba’kelalan pada Jun depan.

HUJAH BERFAKTA...Mesyuarat Pemuda PBB Cawangan Ba’kelalan bersemangat mempertahankan kepimpinan dan kerajaan GPS di semua peringkat.

“Kita menyambut baik cadangan rakan-rakan Pemuda untuk menganjurkan pertandingan bola sepak Piala Pemuda PBB yang akan dilaksanakan bersama Pemuda PBB Cawangan Bukit Sari dan Ba’kelalan.

“Bagi Zon Utara yang meliputi kawasan dari Miri hingga Lawas, gerak kerja Pemuda PBB akan diketuai oleh Timbalan Menteri Lukanisman Awang Sauni,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar jumlah keahlian Pemuda PBB Cawangan Ba’kelalan terus dipertingkatkan bagi memperkukuh kekuatan parti.

Katanya, pelbagai program melibatkan pendaftaran ahli baharu akan diselitkan dalam setiap aktiviti anjuran Pemuda PBB Cawangan Ba’kelalan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua anggota Pemuda PBB Ba’kelalan supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai kempen yang disebarkan menerusi media sosial bertujuan menjatuhkan kredibiliti PBB dan kepimpinannya.

“Sekiranya menemui pautan atau kandungan media sosial yang cuba menggugat perpaduan serta kepimpinan PBB mahupun GPS, kita perlu menanganinya dengan fakta yang tepat.

“Kebanyakan kandungan yang disebarkan hanya bertujuan meraih simpati dan populariti tertentu, sedangkan masyarakat di Sarawak saling memerlukan dan bergantung antara satu sama lain,” ujarnya.

Oleh Adeng Edrus

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Jasa guru terus mekar dalam hati anak didik
Next: 35 penderma jayakan Kempen Derma Darah APM Sarikei

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.