JPJ Bintulu laksana Ops Bas Pekerja di laluan Coastal Bintulu-Miri

Facebook
WhatsApp
BAS pekerja yang diperiksa oleh anggota penguat kuasa JPJ dalam Ops Bas Pekerja di sepanjang Jalan Coastal Bintulu-Miri, Samalaju. Foto JPJ Sarawak

BINTULU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melalui Unit Operasi JPJ Cawangan Bintulu telah melaksanakan Ops Bas Pekerja di sepanjang Jalan Coastal Bintulu-Miri, Samalaju awal pagi tadi.

Operasi yang bermula seawal 4.00 pagi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 27 bas pekerja bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan telah dikesan termasuk salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta pelanggaran syarat permit Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

SUASANA operasi penguatkuasaan JPJ Sarawak yang dijalankan di sepanjang Jalan Coastal Bintulu-Miri awal pagi tadi. Foto JPJ Saarawak

JPJ Sarawak dalam kenyataan memaklumkan tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap kesalahan yang dikesan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi berkenaan merupakan antara usaha berterusan JPJ dalam mempergiat pemantauan terhadap kenderaan pengangkutan awam dan bas pekerja demi memastikan tahap keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.

JPJ Sarawak turut menegaskan bahawa aspek pematuhan undang-undang serta kebajikan pengguna jalan raya akan terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan operasi penguatkuasaan secara berkala di seluruh negeri.

Oleh Faizah muzidi