Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Anak autisme cetus inspirasi Cikgu Velerie raih pengiktirafan Menteri Pendidikan
  • PENDIDIKAN

Anak autisme cetus inspirasi Cikgu Velerie raih pengiktirafan Menteri Pendidikan

Utusan Sarawak 9 hours ago
MENTERI Pendidikan Fadhlina Sidek menyampaikan Anugerah Khas Menteri Pendidikan, kepada Dr Velerie Wheelervon Primus dari Sekolah Kebangsaan Bingkor, Sabah pada Majlis Anugerah Hari Guru Tahun 2026 Peringkat Kebangsaan Kali ke-55 di sebuah hotel di Ipoh. Foto: Bernama

IPOH: Dikurniakan anak lelaki yang mengalami Autism Spectrum Disorder (ASD), menjadi titik tolak kepada Dr Velerie Wheelervon Primus, 37, dari Sabah untuk beralih menjadi guru pendidikan khas bagi membantu pendidikan anak tunggalnya serta rakan-rakan senasib.

Keazaman itu turut mendorong Velerie menghasilkan beberapa pendekatan khas pembelajaran iaitu “Hope, Miracles dan Neuro Arts” untuk mendidik murid berkeperluan khas.

Tiga pendekatan berkenaan terbukti memberi impak besar apabila berjaya membantu seorang murid autisme berkerusi roda menjadi individu yang mampu berlari dan bermain bola sepak pada awal tahun ini.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan guru Sekolah Kebangsaan Bingkor, Keningau itu menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan pada Majlis Anugerah Hari Guru 2026 sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55 di sini, hari ini.

“Anak saya, Nogah, kini berusia 11 tahun. Saya sudah 13 tahun berada dalam dunia pendidikan bermula sebagai guru sukan sebelum beralih kepada guru seni kebudayaan. Apabila anak saya didiagnosis menghidap autisme pada 2020, saya mula beralih ke bidang pendidikan khas.

“Saya menggabungkan ketiga-tiga bidang itu menerusi beberapa pendekatan termasuk “Neuro Arts” yang dibangunkan pada awal tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis anugerah itu.

Beliau berkata pengiktirafan diterima itu amat bermakna dan disifatkan sebagai penghargaan terhadap segala perjuangan serta pengorbanannya sepanjang berada dalam dunia pendidikan.

Mengulas lanjut mengenai pendekatan pendidikan digunakan, Velerie berkata pendekatan “Hope” memberi fokus kepada intervensi bersama antara sekolah dan ibu bapa, manakala “Miracles” menggabungkan terapi cara kerja dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Menurutnya pendekatan “Neuro Arts” pula menggabungkan elemen neurologi, sains dan terapi cara kerja dalam sesi PdP.

Selain Velerie, 94 lagi guru dari seluruh negara menerima anugerah dalam 31 kategori yang menawarkan hadiah wang tunai dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN), sijil dan cenderamata sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta peranan mereka dalam dunia pendidikan. – Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Akses IPTA untuk lepasan tahfiz, UEC perluas peluang pendidikan – Loke
Next: KPM komited selesai isu guru ‘duka lara’ – Fadhlina

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.