
SIBURAN: Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan SACOFA Sdn Bhd (SACOFA) bagi memperluaskan rangkaian gentian optik di seluruh negeri, khususnya di kawasan luar bandar yang masih berdepan cabaran capaian internet.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu diambil susulan keadaan pasaran di sesetengah kawasan yang dianggap terlalu kecil oleh penyedia perkhidmatan komersial, sekali gus tidak menggalakkan pelaburan infrastruktur telekomunikasi berskala besar.
“Kerajaan akan bekerjasama dengan SACOFA untuk memperluaskan rangkaian gentian optik kerana syarikat komersial melihat pasaran di sesetengah kawasan terlalu kecil berbanding kos pelaburan yang tinggi.
“Keadaan itu menyebabkan Sarawak tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada syarikat komersial semata-mata dalam usaha memperluas capaian internet di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi turun padang penyaluran peringkat kedua Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) di Eastern Mall, Siburan hari ini.

“Sebaliknya, SACOFA akan terus dimanfaatkan sebagai pemangkin utama dan tulang belakang kepada sistem konektiviti negeri, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan isu liputan terhad,” tambahnya.
Beliau menegaskan usaha memperkukuh infrastruktur digital ini penting kerana tahap liputan internet sedia ada masih belum mencapai tahap memuaskan di beberapa kawasan, sekali gus memberi kesan kepada agenda ekonomi digital negeri.
Dalam pada itu, Abang Johari menjelaskan terdapat beberapa penyedia utama yang terlibat dalam ekosistem rangkaian, namun keupayaan mereka banyak bergantung kepada faktor pasaran dan kos pelaburan.
“Sarawak perlu mengambil pendekatan tersendiri dengan memperkukuh peranan SACOFA bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa usaha ini bukan sahaja tertumpu kepada gentian optik semata-mata, sebaliknya merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang ke arah transformasi digital negeri.
Jelasnya, perkembangan teknologi masa kini juga membuka ruang kepada penggunaan teknologi satelit, termasuk nano satelit di orbit rendah bumi bagi meningkatkan lagi capaian komunikasi di seluruh negeri.
“Pada masa hadapan kita tidak lagi bergantung kepada gentian optik semata-mata, sebaliknya akan beralih kepada teknologi cloud dan keperluan penyimpanan data berasaskan cloud. Sebab itu kita perlukan satelit sendiri, termasuk nano satelit dalam orbit,” katanya.
Abang Johari menambah, teknologi orbit rendah bumi ketika ini sudah membolehkan konektiviti di bumi dilakukan melalui cip baharu, namun ia masih di peringkat pembangunan dan perlu diteliti dari segi pelaksanaan.
Oleh Adele Rissa