
SURABAYA: Seorang pesakit maut manakala 27 lagi dipindahkan selepas kebakaran berlaku di bangunan Pusat Perkhidmatan Jantung Bersepadu Hospital Besar wilayah Dr Soetomo di Surabaya, Jawa Timur pada pagi tadi.
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kejururawatan hospital, Ahmad Suryawan berkata pesakit yang meninggal dunia itu bergantung kepada peralatan sokongan hayat untuk paru-paru, jantung dan buah pinggang, serta sedang bersedia menjalani dialisis ketika kejadian.
“Pesakit itu meninggal dunia bukan akibat terhidu asap kerana semua mesin sokongan kekal berfungsi sepanjang proses pemindahan,” katanya seperti dipetik Agensi Berita Antara.
Ahmad Suryawan berkata pesakit yang menggunakan ventilator terus menerima bantuan perubatan ketika dipindahkan dari kawasan terjejas, sekali gus membolehkan keadaan mereka terus dipantau sepanjang proses berkenaan.
Pihak hospital masih menunggu hasil siasatan Agensi Bomba dan Penyelamat Surabaya serta polis tempatan bagi mengenal pasti punca asap yang dikesan di tingkat lima bangunan itu, katanya.
Sementara itu, Pengarah hospital Cita Rosita Sigit Prakoeswa berkata empat kakitangannya mengalami sesak nafas selepas terdedah kepada asap ketika membantu operasi pemindahan, walaupun memakai peralatan perlindungan.
Beliau berkata hospital berkenaan melaksanakan pemeriksaan keselamatan kebakaran dan simulasi kecemasan secara berkala sebagai sebahagian daripada langkah mitigasi. – Bernama