Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • UEC hanya diiktiraf kursus bahasa Cina tidak memadai
  • PENDIDIKAN

UEC hanya diiktiraf kursus bahasa Cina tidak memadai

Utusan Sarawak 6 hours ago
KETUA Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kevin Lau Kor Jie.

SIBU: Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang hanya terhad kepada program berkaitan bahasa Cina dan pengajian Cina di universiti awam disifatkan tidak memadai untuk mengekalkan bakat tempatan serta memperkukuh pembangunan modal insan negara.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kevin Lau Kor Jie berkata, pendekatan tersebut tidak realistik sekiranya kerajaan benar-benar mahu menyediakan peluang pendidikan dan kerjaya yang lebih luas kepada pemegang UEC di Malaysia.

Menurutnya, walaupun terdapat sedikit kemajuan apabila pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina dibenarkan memohon kemasukan ke universiti awam menerusi sistem UPU Online dengan syarat menduduki peperiksaan bahasa Melayu dan sejarah kendalian Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), pilihan program yang ditawarkan masih terlalu terbatas.

“Pengiktirafan UEC tidak seharusnya sekadar wujud pada nama, tetapi perlu diterjemahkan kepada peluang sebenar untuk pelajar mengikuti bidang profesional dan akademik selaras dengan bakat, aspirasi dan pembangunan kerjaya mereka di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Sekolah Menengah Persendirian Cina telah lama diiktiraf sebagai institusi yang melahirkan pelajar cemerlang khususnya dalam bidang matematik, sains dan teknikal.

Sehubungan dengan itu, katanya pemegang UEC perlu diberi akses lebih luas untuk mengikuti program berkaitan STEM, kewangan, perniagaan, undang-undang dan industri kritikal lain bagi memastikan bakat mereka dapat dimanfaatkan di dalam negara.

Tambahnya, dasar pendidikan negara perlu memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan bakat dan mengurangkan penghijrahan modal insan, bukannya melaksanakan langkah separuh hati yang gagal memenuhi harapan generasi muda.

Beliau turut menggesa lima Menteri Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam Kabinet Persekutuan termasuk Timbalan Menteri Pendidikan daripada DAP supaya menjelaskan pendirian mereka berhubung isu tersebut kepada masyarakat Cina.

Katanya, keadaan itu dilihat bercanggah dengan janji pilihan raya sebelum ini bahawa UEC akan menerima pengiktirafan penuh.

Mengulas lanjut, Kevin berkata, kerajaan Sarawak telah mengiktiraf UEC sejak lebih sedekad lalu bermula pada era pentadbiran bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, dan dasar itu diteruskan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), pemegang UEC kini diterima masuk ke universiti milik kerajaan Negeri dalam 64 program ijazah sarjana muda termasuk bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), undang-undang dan kewangan.

Beliau berkata, pendekatan lebih inklusif dan praktikal seperti dilaksanakan Sarawak membuktikan pengiktirafan lebih luas terhadap UEC mampu memberi manfaat besar kepada pembangunan bakat tempatan.

Oleh Akun Giman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Keputusan SMPC ke IPTA diputuskan kabinet
Next: Akses IPTA untuk lepasan tahfiz, UEC perluas peluang pendidikan – Loke

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.