
PETRA JAYA: Sarawak Water Sdn Bhd mencipta sejarah apabila buat pertama kali menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM325,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak sebagai komitmen berterusan syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan sosioekonomi negeri ini.
Majlis penyerahan zakat tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Water, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki kepada Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim di Pejabat Premier Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pagi tadi.
Majlis itu turut disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi di Pejabat Premier Sarawak, Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, pagi tadi.

Menurut Julaihi Narawi, pembayaran zakat tersebut bukan sahaja dapat membantu golongan memerlukan, malah mencerminkan peranan syarikat berkaitan kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat secara berterusan demi manfaat rakyat.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta pembangunan sosioekonomi negeri.
Turut hadir wakil daripada Tabung Baitulmal Sarawak dan Sarawak Water Sdn Bhd.