KUCHING: Fenomena banjir yang melanda beberapa bahagian di Sarawak memberi impak mendalam kepada mangsa banjir.
Berdepan dengan pasca banjir, Program Agihan Tambok Kongsi Rezeki sekitar daerah Padawan dan Kuching yang dianjurkan oleh Persatuan Sukarelawan Jalanan Sarawak telah dilaksanakan baru-baru ini.
Agihan pasca banjir ini berupa keperluan asas seperti makanan dalam tin, mee segera, roti kering, selimut dan keperluan khas seperti lampin pakai buang dewasa serta bayi.
Sukarelawan yang berbilang bangsa, agama dan usia bergabung tenaga memastikan agar lebih 200 pek Tambok Kongsi Rezeki sampai terus kepada mangsa banjir dan juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Sumbangan tersebut diterima daripada masyarakat prihatin yang bernaung di bawah Sukarelawan Jalanan Sarawak termasuk yang berada di Semenanjung Malaysia dan Singapura.
Pengerusi program, Suria Adenan berkata, mereka bergerak seawal 11.00 pagi dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda terus ke kawasan Padawan iaitu Kampung Simpok yang mana sumbangan tersebut telah diserahkan kepada pihak JKKK Simpok.
Seterusnya, agihan diteruskan ke Kampung Garung yang mana seramai tujuh isi rumah terjejas teruk. Ujarnya, di kampung tersebut, sukarelawan menyantuni seorang nenek berusia 63 tahun bersama anak perempuannya, masih trauma dengan insiden tanah runtuh yang mengakibatkan runtuhan dinding rumah kesan daripada hujan lebat sebelum ini.
“Nenek Nona Budis bersama anak perempuan serta tiga cucu beliau selamat dalam insiden tersebut dan kesan runtuhan dinding dan tanah masih kelihatan di rumah beliau,”cerita Suria.
Menurutnya lagi, agihan seterusnya disampaikan kepada wakil Ketua Kampung Karu Padawan khas untuk mangsa banjir di kampung tersebut.
“Usai itu, konvoi digerakkan ke Kampung Kudei, Jalan Pisang Kuching yang mana kawasan ini juga turut menerima tempias berikutan fenomena air pasang yang luar biasa. Sukarelawan menyerah sendiri agihan terus kepada penduduk yang masih giat membersih rumah serta perkakasan lain yang dapat diguna semula,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa sebelum ini, agihan juga telah digerakkan ke kawasan yang teruk sekitar Kampung Seniawan Melayu yang mana ianya telah diterima sendiri oleh pihak Jawatankuasa Surau Kampung Seniawan Melayu.
“Keadaan jalan yang gelap dan hujan tidak mematahkan semangat seluruh sukarelawan untuk melihat sendiri keadaan penduduk di sana setelah pusat pemindahan sementara ditutup,” tambahnya.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ