
MAKKAH: Wajah Makkah dijangka berubah menjelang 2030 menerusi pembangunan mega Masar Destination (Masar), sebuah koridor bandar pintar yang moden bagi menampung peningkatan jemaah haji dan umrah.
Bernilai SAR100 bilion (RM104 bilion) dan terletak hanya 550 meter dari Masjidil Haram, Masar muncul sebagai antara pembangunan paling strategik yang sedang dirancang di kawasan sekitar kota suci berkenaan.
Pegawai projek Masar Destination, Abdulaziz Alqurashi berkata pembangunan itu bukan sekadar projek fizikal tetapi visi masa depan untuk menjadikan Makkah lebih moden, cekap dan selesa bagi jutaan jemaah.
“Projek sepanjang 3.65 kilometer itu merupakan sebahagian daripada agenda Saudi Vision 2030 yang memberi fokus kepada mobiliti, pengurangan kesesakan dan peningkatan kapasiti bandar suci itu.
“Masar dibangunkan sebagai destinasi bandar moden bertaraf antarabangsa tanpa mengabaikan identiti kerohanian Makkah,” katanya ketika memberi taklimat kepada 200 pengamal media antarabangsa anjuran Pihak Berkuasa Am Pengawalselia Media dan Suruhanjaya Diraja Bandar Raya Makkah dan Tanah Suci di sini baru-baru ini.
Menerusi lawatan khas itu, pengamal media antarabangsa turut diberi peluang untuk melihat sendiri perancangan masa depan projek berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.
Masar dibangunkan di atas kawasan seluas 1.2 juta meter persegi dan bakal menempatkan 205 lot pembangunan dengan jumlah keluasan binaan mencecah 6.7 juta meter persegi.
Abdulaziz berkata antara komponen utama yang menjadi tulang belakang projek itu ialah laluan pejalan kaki selebar antara 40 hingga 60 meter yang menghubungkan terus kawasan pembangunan ke Masjidil Haram, sekali gus melancarkan aliran pergerakan jemaah terutama ketika musim puncak haji dan umrah.
Beliau berkata Masar juga akan dihubungkan secara langsung dengan Kereta Api Laju Haramain serta sistem metro Makkah yang bakal dibangunkan, selain projek itu dilengkapi 11 hentian bas elektrik, lebih 5,700 ruang parkir bawah tanah dan sistem utiliti pintar.
Katanya Masar mampu menampung kira-kira 158,000 orang pada satu-satu masa, dengan lebih 60 peratus kapasiti diperuntukkan kepada jemaah haji dan umrah.
Beliau berkata matlamat utama projek itu adalah melancarkan pergerakan tetamu Allah dari pintu masuk Makkah ke pusat bandar berhampiran Haram secara lebih tersusun dan selamat.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kerja pembinaan sedang giat dijalankan, sekali gus memberi gambaran jelas bahawa Makkah sedang melangkah ke era bandar suci yang lebih moden menjelang 2030. – Bernama