KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sarawak telah mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan ke atas kedudukan bekalan minyak masak di seluruh negeri Sarawak. Pemeriksaan tersebut meliputi seluruh rantaian pengedaran iaitu pengilang, pemborong dan peruncit.
Pengarah KPDNHEP Negeri Sarawak, Dato’ Stanley Tan berkata pada tahun 2016, kerajaan melalui KPDNHEP hanya memberikan subsidi kepada minyak masak dalam bungkusan polibeg 1kilogram sahaja sehingga ke semalam.
“Pihak kerajaan masih mengekalkan pemberian subsidi bagi minyak masak dalam polibeg 1kilogram bertujuan untuk memastikan rakyat boleh mendapatkan bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah dengan harga RM2.50 sekilogram,”jelasnya.
Menurutnya, pada masa ini, terdapat sebanyak 13 syarikat pembungkus minyak masak di seluruh negeri Sarawak meliputi kawasan Kuching, Bintulu dan Miri.
“Syarikat ini mengedarkan sebanyak 3,865 metrik tan minyak masak bersubsidi setiap bulan untuk diedarkan di seluruh negeri Sarawak termasuk di kawasan luar bandar,”katanya.
“Bukan itu sahaja, KPDNHEP Negeri Sarawak komited dalam memastikan keberadaan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran menerusi pemantauan ke atas syarikat pembungkus minyak masak serta menjalankan pemeriksaan harian di peringkat pemborong dan peruncit,”maklumnya.
Tegasnya, mana-mana peniaga yang didapati cuba mengambil kesempatan dan menaikkan harga minyak masak tanpa mematuhi perundangan boleh di ambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Dalam pada itu, beliau berkata KPDNHEP negeri Sarawak akan terus giat dan konsisten melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan rantaian pengedaran pemborong dan peruncitan tidak terjejas dan bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi buat semua pengguna.
Sebarang aduan atau pertanyaan boleh disalurkan kepada kementerian ini melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my atau hubungi di talian 1800 886 800 dan juga boleh emelkan kepada e-aduan@kpdnhep.gov.my.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ