

PETRA JAYA: DAP didakwa membawa budaya politik toksik dari Semenanjung ke Sarawak apabila sering menggunakan pendekatan mengkritik kerajaan tanpa mengemukakan cadangan penyelesaian yang konstruktif.
Menurut Wilfred Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa), konsep “semak dan imbang” tidak seharusnya disalah tafsir sebagai tindakan membangkang setiap dasar atau inisiatif kerajaan semata-mata untuk kepentingan politik.
“Semak dan imbang perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab melalui cadangan penambahbaikan, pengukuhan institusi serta dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Media DUN hari ini sebagai mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen semasa hari ketiga persidangan DUN.
Terdahulu, Chong ketika membahaskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman berkata beliau menyokong penubuhan jawatankuasa itu, namun membantah komposisi keahliannya yang terdiri daripada wakil GPS serta seorang ahli bebas yang disifatkannya cenderung kepada gabungan pemerintah.
Mengulas perkara itu, Wilfred Yap berkata DAP sering mempolitikkan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk usaha memperkukuh institusi melalui penubuhan Ombudsman Sarawak.
“DAP sebelum ini banyak menjanjikan reformasi institusi ketika berada dalam Kerajaan Persekutuan termasuk berkaitan ketelusan, pelantikan politik dan reformasi tadbir urus, namun sebahagian besar perkara itu masih belum dilaksanakan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata GPS mengambil pendekatan berbeza dengan melaksanakan reformasi melalui mekanisme institusi bagi memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti.
“Sarawak memerlukan politik yang lebih stabil dan matang bagi memastikan agenda pembangunan serta pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Sarawak tidak memerlukan budaya politik yang terlalu banyak berkonfrontasi. Apa yang penting ialah dasar, kestabilan dan penyelesaian kepada isu rakyat,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah