SIBU: Majikan terus dinasihatkan supaya membenarkan kakitangan masing-masing bekerja dari rumah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sibu.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting berkata, walaupun kerajaan masih membenarkan pergerakan pekerja untuk beroperasi di pejabat atau di sektor ekonomi untuk Perkhidmatan Perlu (Essential Services), namun adalah lebih selamat jika pekerja dibenarkan untuk bekerja dari rumah.
Katanya, tujuan utama PKP dilaksanakan untuk menghentikan orang ramai dari berkumpul.
“Namun, salah satu tempat yang berisiko untuk dikunjungi adalah perhimpunan kakitangan pejabat.
“Bagaimana anda tahu ke mana pergerakan rakan sepejabat anda pada hujung minggu?
“Oleh itu, saya menggesa para majikan untuk menimbang semula untuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah supaya sebarang perhimpunan yang melibatkan ramai pekerja dapat dielakkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, semalam.
Menurut Ting, masih ramai pihak yang tidak mengambil endah mengenai wabak Covid-19 yang melanda bandar ini.
Katanya, PKP kali ini berbeza dengan PKP pada March 2020 lalu yang mana pada masa itu Sibu hanya mengalami jangkitan yang ringan.
“Dengan lebih dari sepuluh ribu saringan yang masih menunggu keputusan, saya tertanya-tanya bagaimana seseorang merasa selamat bekerja di ruang pejabat yang tertutup.
“Saya merasa agak terkilan apabila melihat kedai-kedai di tingkat bawah yang sangat patuh kepada arahan untuk tidak beroperasi sedangkan premis di tingkat atas melakukan perkara sebaliknya.
“Semua pihak harus bekerjasama demi mengekang penularan wabak ini di Sibu terutamanya,” ujarnya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD