KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada rombongan Kolej Universiti i-CATS (i-CATS UC) di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Kunjungan hormat yang diketuai oleh Pro-Canselor I i-CATS UC merangkap Pengerusi Sarawak Skills, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain, adalah bertujuan untuk memberi penerangan kepada Abang Johari mengenai peningkatan i-CATS sebagai Kolej Universiti.
Selain itu, kunjungan tersebut juga adalah bagi menjemput Abang Johari sebagai Canselor i-CATS UC sekali gus mengundang beliau merasmikan Konvokesyen ke-23 Sarawak Skills/ i-CATS yang akan diadakan pada 8 Mac 2021 dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat serta bilangan graduan dan tetamu yang minimum di i-CATS UC di Jalan Stampin Timur, Kuching.
Menurut Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz, Abang Johari sangat gembira dengan kemunculan sebuah kolej universiti tempatan yang bermula pada tahun 2003 dan berkongsi kemudahannya dengan Sarawak Skills di Jalan Canna, Tabuan Jaya di Kuching.
“Sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk menghasilkan tenaga kerja teknikal berkemahiran yang lebih besar untuk pertumbuhan yang kuat dan mampan, i-CATS memulakan perjalanannya untuk menjadi Kolej Universiti yang diuruskan oleh syarikat milik penuh Sarawak Skills, PPKS Ilmu Sdn Bhd.”
“i-CATS telah dinaikkan ke Kolej Universiti mulai 3 Disember 2020 dan akan memperkenalkan lebih banyak kursus yang memenuhi keperluan industri dan aspirasi kerajaan, khususnya dalam mencapai status negara maju di Malaysia oleh tahun 2030,” tambahnya.
Ujar beliau lagi, “Dengan peningkatan ini, i-CATS UC juga akan memberi penekanan lebih banyak pada kerja penyelidikan, terutamanya penyelidikan gunaan dalam tenaga boleh diperbaharui, persekitaran dan revolusi industri 4.0.”
Turut hadir, Pro-Canselor II, Dato Maznah Dasmi, Pro-Canselor III, Hallman Sabri, Ahli Lembaga Pengarah, Helmi Othman dan Naib Canselor, Mohamad Isham Fauzi.