
LANGKAWI: Lapan tahun lalu, sebuah rumah yang terbiar dalam semak samun dan berselimut selut di Kampung Bohor Merah di sini mungkin tidak dipandang oleh sesiapa pun, namun bagi seniman Suhaimi Fadzir, rumah itu adalah sebutir permata yang menanti untuk diberikan nafas baharu.
Hari ini, rumah yang dahulunya sepi itu telah bertukar wajah menjadi Studio Puyu, sebuah ruang kreatif peribadi tempat Suhaimi, 60, bereksperimen dengan lukisan, arca dan instalasi seni yang unik.


Seniman kelahiran Gerik, Perak yang mula aktif berkarya pada era 1980-an itu berkata kewujudan studio tersebut bermula tanpa dirancang ketika beliau terlibat dalam projek mengubah suai sebuah resort terkemuka di pulau legenda ini.
Berbekalkan latar belakang dalam bidang seni bina, tugasan itu membawanya ke Langkawi, namun keperluan untuk berkarya menyebabkan beliau mencari ruang sendiri yang sesuai dijadikan studio sebelum menemukan rumah sewa itu pada kadar kira-kira RM500 sebulan.
“Saya sentiasa melukis, membuat ukiran dan kerja-kerja seperti ini memang ada bau cat, jadi saya perlukan ruang sendiri yang lebih sesuai. Pada masa itu, kalau keluarga datang agak susah untuk tinggal di tempat projek, jadi saya mula mencari rumah yang boleh dijadikan studio.
“Akhirnya saya jumpa rumah jenis semi-D ini yang ketika itu seperti dalam hutan, sudah lama ditinggalkan dan dipenuhi selut. Kami bersihkan sedikit demi sedikit dan lama-kelamaan lukisan, arca dan instalasi hasil eksperimen seni saya semakin banyak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di studionya di sini, baru-baru ini.

Melalui Studio Puyu, Suhaimi membuktikan bahawa seni tidak semestinya memerlukan bahan mahal kerana dengan menggunakan pelbagai objek terbuang termasuk tempurung kelapa, dahan kayu dan kain buruk, ia menjadi karya seni yang sarat dengan mesej.
Bapa kepada tiga anak ini percaya nilai sesuatu objek tidak terletak pada rupa asalnya, sebaliknya pada potensi tersembunyi yang boleh diterjemahkan melalui kreativiti.
“Kalau orang biasa tengok, mungkin tiada apa, tetapi sebagai artis, kita melihat benda itu seolah-olah ada harga dan nilai tersendiri, kalau dikumpul dan diolah dengan cara tertentu, akhirnya boleh menjadi sebahagian daripada karya,” katanya.

Berbeza dengan galeri komersial, Studio Puyu mengekalkan identiti rumah kampung yang asli dan hanya menerima kunjungan melalui janji temu.
Pendekatan ini memberi peluang kepada pengunjung untuk menyelami proses kreatif dan melihat sendiri susunan objek terbuang yang menjadi sebahagian daripada ruang eksperimen beliau.
Meskipun mempunyai studio di Bukit Antarabangsa, Selangor dan St Louis, Amerika Syarikat, Suhaimi memilih untuk terus bertapak di Langkawi kerana pulau itu mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Langkawi ini macam kosong, jadi idea itu lebih tenang. Bila hendak berkarya, suasana di sini seronok kerana jiwa tidak kacau dan gangguan pun kurang sikit, jadi saya lebih mudah berfikir dan bereksperimen dengan karya,” katanya.


Suhaimi berkata pendekatan seninya berpaksikan konsep “archipainting” yang menggabungkan elemen seni bina dan lukisan menerusi gabungan bentuk dua serta tiga dimensi bagi menghasilkan karya dengan unsur timbul, struktur dan lapisan visual.
“Lukisan itu dua dimensi, seni bina pula tiga dimensi seperti binaan rumah atau struktur. Jadi saya campur dua benda itu dan panggil ‘archipainting’. Walaupun ia bermula daripada lukisan, karya itu ada elemen tambahan yang bersifat tiga dimensi, timbul dan berlapis,” katanya.
Mengakui pasaran seni di Langkawi agak terhad berbanding Kuala Lumpur dan banyak bergantung kepada pengumpul seni luar serta pelancong asing, Suhaimi bagaimanapun tetap optimis untuk terus berkarya dari sudut kecilnya di Kampung Bohor Merah.
Suhaimi berkata karya bersaiz kecil lebih mudah menarik minat pembeli kerana mudah dibawa pulang, manakala karya berskala besar atau instalasi mempunyai cabaran tersendiri dari segi ruang, kos dan logistik. – Bernama