
KUALA LUMPUR: Acara yang pada asalnya dirancang berlangsung di Dubai berakhir menjadi antara program hiburan terbesar Malaysia tahun lalu apabila Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi sambutan sinematik terakhir Vijay, pelakon popular India yang kini bergelar Ketua Menteri Tamil Nadu.
Majlis pelancaran audio “Thalapathy Thiruvizha: Jana Nayagan”, iaitu filem ke-69 Vijay, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Disember lalu bukan sahaja meraikan dunia perfileman, malah menjadi pentas mempamerkan hospitaliti Malaysia, keupayaan penganjuran acara bertaraf antarabangsa serta potensi negara sebagai destinasi pelancongan sinema.
Acara itu turut mencipta sejarah apabila tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai antara pelancaran audio terbesar di dunia dengan kehadiran kira-kira 85,000 peminat.
Pengasas Malik Streams Group of Companies Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata Malaysia berjaya menjadi tuan rumah acara itu selepas beliau sendiri meminta agar pelancaran audio itu dipindahkan dari Dubai ke Kuala Lumpur.
“Vijay bersetuju dan ia menjadi detik membanggakan bukan sahaja untuk kami, malah buat Malaysia,” katanya, berkongsi kisah perjalanan membawa aktor berusia 51 tahun itu ke Malaysia dengan Bernama.

Bagi para peminat, acara itu membawa makna tersendiri kerana perhimpunan di Bukit Jalil tersebut antara kemunculan secara besar-besaran terakhir Vijay dalam persona hero ikoniknya sebelum beralih sepenuhnya ke arena politik.
“Menjadi satu penghormatan kepada kami kerana dapat merealisasikan acara ini buat peminat Vijay di Malaysia. Menyaksikan beliau beraksi secara langsung di atas pentas menerusi nyanyian, tarian dan ucapan, apatah lagi ia mungkin antara penampilan terakhirnya sebagai hero, pasti menjadi kenangan sekali seumur hidup buat para peminat,” katanya.
Lebih-lebih lagi kata beliau penganjuran acara itu berdepan dengan cabaran logistik yang besar dan melibatkan hampir 4,000 petugas bagi menguruskan pelbagai aspek merangkumi keselamatan, pengangkutan dan hospitaliti kerana Vijay mempunyai peminat yang sangat ramai.
Hal itu terbukti apabila acara tidak hanya dihadiri peminat tempatan tetapi juga dari negara-negara lain, yang seterusnya membawa limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan negara, kata Abdul Malik.
“Ramai datang ke sini semata-mata untuk melihat beliau secara langsung, sesuatu yang sangat jarang berlaku,” katanya.
Abdul Malik juga berkata daripada acara itu, keterlihatan Malaysia dalam kalangan penonton filem Tamil di seluruh dunia turut meningkat.
Video lagu “Raavana Mavandaa” daripada filem Jana Nayagan yang turut menampilkan rakaman pelancaran audio di Bukit Jalil itu meraih lebih 41 juta tontonan, manakala klip acara, kandungan yang dihasilkan peminat dan liputan media secara keseluruhan mencatat ratusan juta tontonan di peringkat global.
Abdul Malik yang turut memainkan peranan penting membawa pelakon handalan Rajinikanth ke Malaysia bagi penggambaran filem Kabali kira-kira sedekad lalu, berkata produksi berskala besar seperti itu membuktikan daya tarikan negara sebagai destinasi projek filem dan hiburan antarabangsa.
Sementara itu, mengulas kejayaan Vijay dalam politik Tamil Nadu, Abdul Malik berkata hal tersebut tidak mengejutkan kerana Vijay dilihat sebagai seorang yang tenang, merendah diri dan mempunyai daya tarikan semula jadi.
Beliau berkata Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan global peminat Vijay, khususnya kerana sokongan berterusan komuniti Tamil Malaysia.
Beliau turut mendedahkan Malik Streams selaku pengedar Jana Nayagan di Malaysia, sedang merancang satu lagi sambutan istimewa buat peminat Vijay apabila filem itu ditayangkan kelak.
Sepanjang sedekad lalu, Malik Streams telah menganjurkan 11 konsert besar membabitkan artis dari Tamil Nadu serta mengedarkan lebih 100 filem India di Malaysia, sekali gus membuktikan kedudukan kukuh syarikat itu dalam industri hiburan India.
Vijay mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu pada 10 Mei selepas partinya Tamilaga Vettri Kazhagam, muncul sebagai pemenang terbesar tunggal dalam pilihan raya negeri yang berlangsung sengit baru-baru ini. – Bernama