
SIMANGGANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Unit Operasi JPJ Sri Aman terus mempergiat usaha penguatkuasaan dengan melaksanakan Ops Bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sri Aman bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya serta peraturan imigresen.
Menurut kenyataan media JPJ Sarawak, operasi berkenaan dijalankan dalam dua fasa melibatkan lokasi strategik di Lebuh Raya Pan Borneo bagi memantau tahap pematuhan pengguna jalan raya dan warga asing di kawasan terbabit.
Fasa pertama operasi dijalankan pada sebelah pagi hingga tengah hari di Lebuh Raya Pan Borneo Serian-Sri Aman berhampiran Selepong, manakala fasa kedua diteruskan pada sebelah malam hingga tengah malam di Lebuh Raya Pan Borneo Betong-Sri Aman dekat Pentik.

Sepanjang operasi dilaksanakan, pihak JPJ telah memeriksa sebanyak 193 kenderaan pelbagai jenis bagi memastikan setiap pengguna mematuhi peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.
Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 23 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan ketidakakuran termasuk tidak memiliki lesen memandu, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta kesalahan melibatkan aspek teknikal kenderaan.
JPJ Sarawak memaklumkan tindakan penguatkuasaan secara berterusan penting bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang demi keselamatan semua pihak.
Dalam operasi sama, JIM Sri Aman turut menjalankan pemeriksaan dokumen pengenalan diri dan dokumen imigresen melibatkan seramai 165 individu di lokasi pertama operasi.
Sementara itu, seramai 114 individu termasuk warga asing diperiksa di lokasi kedua bagi memastikan setiap individu mempunyai dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah.
Hasil pemeriksaan imigresen mendapati tiada sebarang tangkapan atau penahanan melibatkan warga asing dilakukan sepanjang operasi bersepadu berkenaan dijalankan.
JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada JIM Sri Aman atas kerjasama dan komitmen yang diberikan.
Sinergi strategik antara agensi penguat kuasa akan terus diperkukuhkan demi memastikan keselamatan, pematuhan undang-undang dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman