

PETRA JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Datuk Lo Khere Chiang menyifatkan dakwaan ADUN Padungan Chong Chieng Jen yang cuba mengaitkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan individu disiasat pihak berkuasa sebagai bermotif politik dan tidak berasaskan fakta.
Lo Khere Chiang dalam kenyataan berkata, tuduhan dibuat hanya bersandarkan persepsi, sindiran politik dan kaitan kehadiran di majlis awam tanpa sebarang bukti kukuh.
Katanya, kehadiran seseorang individu dalam majlis makan malam, program komuniti atau acara tajaan bersama pemimpin politik tidak boleh dijadikan bukti wujudnya penglibatan jenayah atau konspirasi politik.
“Kalau logik seperti itu diterima, maka hampir semua parti politik di Malaysia boleh dikaitkan dengan pelbagai individu hanya berdasarkan gambar atau kehadiran dalam acara awam.
“Kita tidak boleh menghukum berdasarkan persepsi, khabar angin atau spekulasi politik semata-mata,” katanya sebagai menjawab dakwaan dibangkitkan Chong pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Beliau berkata jika benar terdapat unsur jenayah atau salah laku, perkara tersebut perlu disiasat pihak berkuasa dan diputuskan mahkamah, bukannya dijadikan modal politik dalam dewan.
“Penahanan bukan sabitan. Siasatan adalah untuk pihak berkuasa dan mahkamah menentukan, bukan untuk ahli politik mengeksploitasi keadaan bagi membina naratif politik terhadap SUPP atau GPS,” katanya.
Lo Khere Chiang berkata semua pihak perlu berhati-hati agar tidak mewujudkan budaya politik berasaskan ‘bersalah kerana kaitan’ yang menurutnya berbahaya dan boleh merosakkan reputasi seseorang tanpa keputusan mahkamah.
Katanya, politik berasaskan sindiran, serangan peribadi dan cubaan memburukkan individu tidak akan meningkatkan standard perbahasan di DUN Sarawak.
“Rakyat Sarawak boleh melihat perbezaan antara kerajaan yang fokus membina infrastruktur, mengukuhkan ekonomi dan memajukan kepentingan jangka panjang Sarawak dengan pembangkang yang terus bermain politik sensasi dan serangan peribadi,” katanya.
Beliau berkata politik sedemikian hanya akan memecah-belahkan masyarakat serta mewujudkan budaya kebencian dan syak wasangka dalam kalangan rakyat.
“Tiada siapa mengatasi undang-undang. Jika ada mana-mana individu melakukan kesalahan, biar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional dan mahkamah membuat keputusan secara adil.
“Tetapi ahli politik tidak sepatutnya bertindak sebagai pendakwa raya, hakim dan juri semata-mata untuk meraih keuntungan politik,” katanya.
Terdahulu, Chong dalam perbahasannya mendakwa terdapat individu yang dikaitkan dengan kegiatan jenayah hadir dalam beberapa acara bersama pemimpin SUPP sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan GPS.
Bagaimanapun, Timbalan Speaker DUN Sarawak Datuk Idris Buang kemudian mengarahkan beberapa kenyataan Chong dikeluarkan daripada Hansard kerana dianggap tidak wajar memandangkan tiada sebarang sabitan mahkamah terhadap individu terbabit.
Oleh Shahrul Qaizat