
PETRA JAYA: Pendekatan inklusif yang diterapkan kerajaan Sarawak dalam meraikan kepelbagaian kaum terus diperkukuh menerusi pemberian sumbangsih sempena sambutan perayaan utama masyarakat di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan tidak hanya menumpukan bantuan sempena Hari Raya, malah turut memperluaskannya kepada sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai.
Menurut beliau, langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap kaum dan komuniti di Sarawak terus diraikan secara adil serta saksama.
“Kebiasaannya bantuan sumbangsih ini diberikan sempena Hari Raya, namun pada tahun ini kita turut melanjutkannya kepada masyarakat yang menyambut Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai.
“Pendekatan ini menunjukkan kerajaan mengiktiraf tiga perayaan utama ini khususnya bagi anggota unit beruniform yang tetap menjalankan tugas ketika musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Hari Gawai 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Tambah beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan, malah turut memperkukuh semangat perpaduan serta keharmonian rakyat berbilang kaum di Sarawak.
Dalam pada itu, Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak atas usaha menyediakan pek makanan untuk diagihkan kepada anggota beruniform sempena sambutan Hari Gawai nanti.