

PETRA JAYA: Kestabilan politik, perjuangan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta agenda pembangunan negeri antara fokus utama dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Fazzrudin Abdul Rahman (GPS-Tupong) berkata rakyat Sarawak kini semakin memahami bahawa hak negeri tidak diperoleh melalui retorik politik atau populariti media sosial semata-mata.
Menurut beliau, hak Sarawak hanya dapat dipertahankan menerusi kestabilan politik, kebijaksanaan rundingan dan kepimpinan yang konsisten.
“Hak tidak datang melalui jeritan di media sosial. Hak datang melalui kestabilan politik, kebijaksanaan rundingan dan kepimpinan yang dihormati di peringkat nasional,” katanya ketika membahaskan Usul Menyokong Ucapan Yang di-Pertua Negeri di DUN hari ini.
Beliau berkata perjuangan GPS dalam menuntut hak Sarawak di bawah MA63 kini mula menunjukkan hasil termasuk menerusi pindaan Artikel 160(2) Perlembagaan Persekutuan.
“MA63 bukan lagi sekadar dokumen lama yang disimpan dalam muzium atau disebut semasa sambutan Hari Malaysia tetapi hidup dalam Perlembagaan negara dan menjadi benteng undang-undang yang melindungi hak Sarawak untuk generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu penyelenggaraan infrastruktur di kawasan perumahan lama, keselamatan aset telekomunikasi serta kebajikan pelajar sekolah sukan di Sarawak.
Sementara itu, Datuk Hamzah Brahim (GPS-Stakan) berkata kestabilan politik di bawah pentadbiran GPS menjadi aset paling bernilai dalam memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan secara konsisten.

“Keharmonian ini menjadi perisai utama yang membolehkan kita memacu agenda pembangunan mega tanpa gangguan polemik politik yang tidak produktif,” katanya.
Menurut beliau, Sarawak kini berada di landasan tepat untuk menjadi peneraju tenaga hijau dan ekonomi hijau serantau menerusi pembangunan tenaga hidro, solar dan ekonomi hidrogen.
Hamzah turut menegaskan tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah penting sebagai benteng mempertahankan hak wilayah Borneo dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, beliau turut membangkitkan beberapa isu rakyat di kawasan Stakan termasuk masalah tekanan air di Taman Samarindah, kesesakan lalu lintas, banjir kilat dan pembinaan klinik kesihatan baharu.

Dalam perkembangan sama, Wilfred Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa) berkata rakyat Sarawak mahukan penyelesaian dan hasil sebenar, bukannya retorik politik atau drama media sosial semata-mata.
Menurut beliau, rakyat mahu kerajaan yang mampu menyelesaikan masalah asas seperti jalan raya, sistem perparitan, perumahan mampu milik, kemudahan kesihatan dan bekalan air yang berkualiti.
Beliau berkata GPS mungkin tidak sempurna, namun kerajaan sentiasa mengambil tanggungjawab untuk mentadbir, membina institusi dan memperjuangkan hak Sarawak secara konsisten.
Katanya, Sarawak kini berada dalam fasa transformasi besar termasuk dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen dan pengukuhan kawalan terhadap sumber negeri sendiri.
Wilfred turut berkata Sarawak kini bukan lagi sekadar membincangkan pembangunan asas, sebaliknya turut memberi fokus kepada kedaulatan tenaga, reformasi institusi dan masa depan struktur Persekutuan Malaysia.
Oleh Shahrul Qaizat