
KUALA LUMPUR: Selepas puluhan tahun menghidupkan dunia seni menerusi muzik dan lakonan, legenda muzik tanah air Datuk M. Nasir membuka satu lagi dimensi baharu dalam perjalanan seninya menerusi penerbitan teater muzikal ‘Mansur dan Liu’.
Naskhah itu menjadi projek teater muzikal sulung yang diterbitkan bersama-sama dengan isteri Datin Marlia Musa, dan mereka sedang mencari ‘Liu’, iaitu watak heroin yang bakal menghidupkan pementasan berkenaan.
Marlia berkata pemegang watak Liu perlu memiliki ciri-ciri tersendiri, termasuk gerak tari yang gemalai, tutur bicara yang bijaksana serta suara lunak dan gemersik bagi melengkapkan gandingan dengan karakter Mansur.
“Ini adalah teater muzikal pertama kami. Sebelum ini, kami hanya mendengar suara, melihat lakonan dan gerak tari. Jadi, kami mahu melihat semuanya diterjemahkan secara nyata menerusi bakat-bakat baharu dalam pementasan ini nanti,” katanya dalam kenyataan.
Bagi merealisasikan pencarian itu, sesi uji bakat terbuka ‘M. Nasir Mencari Liu’ akan berlangsung esok di Club Chinois, JW Marriott Hotel Kuala Lumpur bermula 3 petang dan mempelawa bakat-bakat berpotensi untuk tampil.
-Bernama