Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Bengkel pilihan raya jadi tumpuan utama Persidangan Media Sarawak 2026
  • TEMPATAN

Bengkel pilihan raya jadi tumpuan utama Persidangan Media Sarawak 2026

Utusan Sarawak 9 hours ago
SIDANG MEDIA… Datuk Abdullah Saidol (tengah) pada sidang media Penyampaian Sumbangan Insentif Khas Persatuan Media Sarawak di Kompleks DUN, hari ini. Foto Nadya Victoria

PETRA JAYA: Bengkel khas liputan pilihan raya bagi membimbing wartawan menjadi tumpuan utama Persidangan Media Sarawak 2026, yang turut memberi penekanan kepada latihan kecerdasan buatan (AI), media digital dan etika kewartawanan pada Julai ini. 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, persidangan media yang memasuki edisi ketiga itu akan tampil dengan format lebih praktikal menerusi beberapa siri bengkel berskala kecil bagi memberi fokus kepada keperluan pengamal media khususnya wartawan muda.

“Antara pengisian utama termasuk bengkel berkaitan prosedur dan garis panduan liputan pilihan raya yang akan dikendalikan oleh individu berpengalaman termasuk bekas pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita mahu wartawan memahami istilah-istilah pilihan raya, perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika membuat liputan serta prosedur yang betul semasa pilihan raya.

“Kadang-kadang ada kesalahan kecil yang disalah tafsir sebagai kesalahan besar. Jadi bengkel ini penting supaya wartawan lebih memahami konteks sebenar,” katanya.

PRESIDEN Persatuan Wartawan Kuching (KDJA), Ronnie Teo (kanan) menerima Sumbangan Insentif Khas Persatuan Media Sarawak 2025 pada majlis di Kompleks DUN, hari ini. Foto Nadya Victoria 

Beliau berkata demikian ketika sidang media Penyampaian Sumbangan Insentif Khas Persatuan Media Sarawak di Kompleks DUN, hari ini.

Beliau mendedahkan, UKAS akan mewujudkan talian bantuan atau pusat bantuan khas semasa pilihan raya nanti bagi memudahkan wartawan mendapatkan maklumat seperti profil calon, gambar dan fakta berkaitan dengan lebih cepat.

“Inisiatif itu bertujuan memudahkan tugasan pengamal media terutama organisasi yang mempunyai jumlah petugas terhad untuk membuat liputan di kawasan luas seluruh Sarawak,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan bahawa bantuan kepada persatuan media yang diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini telah disalurkan kepada enam persatuan media sejak April lalu.

“Proses penyaluran bantuan tersebut mengambil sedikit masa kerana perlu melalui prosedur kewangan serta semakan beberapa agensi kerajaan negeri sebelum akhirnya disalurkan pada April lalu,” jelasnya.

Sebanyak enam persatuan media berdaftar di Sarawak menerima Sumbangan Insentif Khas Persatuan Media Sarawak 2025 dengan jumlah keseluruhan RM317,800 yang melibatkan 454 ahli.

Antara penerima ialah Persatuan Wartawan Komanwel Cawangan Sarawak yang menerima RM15,400, Persatuan Wartawan Kuching (RM175,000), Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching (RM16,100), Persatuan Wartawan Sibu (RM28,000), Institut Wartawan Rejang Sarawak (RM39,200) serta Persatuan Wartawan Sarawak Utara (RM44,100).

“Bantuan ini disalurkan melalui persatuan media berdaftar dan penggunaannya terpulang kepada persatuan masing-masing sama ada bagi tujuan kebajikan ahli, aktiviti atau pengurusan persatuan,” katanya.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Wabak norovirus di kapal persiaran berlabuh di Bordeaux
Next: Galeri tetap Sarawak Delta Geopark dibangunkan di Pusat Sains Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.