
PETRA JAYA: Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail telah menghadiri taklimat berkenaan cadangan Terma Rujukan (TOR) Pengagihan dan Pemilikan Rumah Mampu Milik (RMM) Rangau Valley, Limbang di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Hal ini merupakan tindakan susulan oleh pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak selepas kelulusan yang diberikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini berhubung TOR penempatan semula pemilik rumah teres dua tingkat di RPR Rangau ke RMM Rangau Valley, yang dijangka akan melaksanakan penyerahan kunci pada awal Julai ini.
Penempatan semula tersebut melibatkan 127 pemilik rumah teres dua tingkat di RPR Rangau yang telah dikenal pasti untuk dipindahkan ke penempatan baharu sebaik sahaja projek tersebut memperoleh kelulusan Permit Menduduki.
Projek berkenaan terdiri daripada 68 unit rumah teres dua tingkat tengah, 25 unit rumah teres dua tingkat tepi tengah, 9 unit rumah teres dua tingkat tepi dan 26 unit rumah berkembar dua tingkat.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif HDC Sarawak, Fathi Hambali; Ketua Bahagian Pemasaran HDC Sarawak, Abang Zaidan Abang Abdul Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Mortgage dan Credit Sdn Bhd, Awang Irwan; serta Pengurus Mutiara Mortgage dan Credit Sdn Bhd, Fatrus Bahari.
Oleh Adeng Edrus