Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu bermula 16 Jun
  • NASIONAL

Penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu bermula 16 Jun

Utusan Sarawak 6 hours ago
Foto hiasan.

JAKARTA: Penerbangan terus antara Jakarta dan Kota Bharu dijadual bermula pada 16 Jun, menandakan laluan udara langsung pertama antara ibu negara Indonesia dan Pantai Timur Malaysia.

Timbalan Menteri Luar Indonesia Arif Havas Oegroseno menyifatkan laluan itu sebagai strategik dalam memperkukuh hubungan antara bandar selain ibu negara dan wilayah di Asia Tenggara, terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi.

“Saya fikir ini satu peluang yang sangat baik. Saya mahu melihatnya bukan hanya sebagai peluang ekonomi, tetapi juga hubungan strategik,” kata beliau ketika merasmikan program ‘Kelantan Day’ bersama Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud di sini pada Khamis.

Arif Havas berkata, hubungan serantau selama ini banyak tertumpu kepada ibu negara seperti Jakarta, Kuala Lumpur, Singapura dan Bangkok, sedangkan hubungan antara wilayah dan negeri masih belum dibangunkan sepenuhnya.

Beliau berkata, laluan terus itu akan memudahkan pelancongan, mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat, menyokong industri kecil, menggalakkan pelaburan rentas sempadan serta meningkatkan kerjasama industri halal antara Indonesia dan Malaysia.

Timbalan menteri itu turut menyifatkan Kelantan sebagai negeri yang strategik kerana berdekatan selatan Thailand, sekali gus berpotensi muncul sebagai hab serantau yang menghubungkan sebahagian Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Arif Havas berkata, laluan berkenaan pada awalnya dirancang beroperasi empat kali seminggu dan kekerapan penerbangan boleh ditingkatkan pada masa depan bergantung kepada permintaan.

Beliau turut berharap lebih banyak jaringan penerbangan terus seperti laluan Kelantan-Surabaya dan Kelantan-Bali dapat diperkenalkan kelak.

Sementara itu, Mohd Nassuruddin berkata, jaringan baharu itu akan memperkukuh sektor pelancongan, perdagangan, pelancongan perubatan dan pertukaran budaya antara Kelantan dengan Indonesia.

Beliau menjelaskan laluan berkenaan akan menyokong usaha Kelantan menarik lebih ramai pelawat antarabangsa, khususnya dari Indonesia, di samping menjadikannya sebagai pintu masuk kepada pelancongan Islam, warisan budaya, gastronomi dan pelancongan perubatan.

“Pelancongan tidak boleh hanya dilihat sebagai urusan ekonomi dan perniagaan semata-mata, tetapi menjadi jambatan silaturahim antara kita,” katanya.

Beliau berkata, Kelantan menerima kedatangan 10 juta pelancong pada 2024 sebelum meningkat kepada 11 juta tahun lepas, sekali gus mencerminkan peningkatan minat terhadap produk pelancongan negeri itu.

Mohd Nassuruddin berkata, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra juga baru-baru ini melalui kerja naik taraf besar-besaran dan kini mampu mengendalikan sehingga empat juta penumpang setahun.

Pada 10 Mac, AirAsia Malaysia mengumumkan peluasan rangkaian Indonesia menerusi pelancaran laluan ke-20 ke negara itu, menghubungkan Kota Bharu dengan Jakarta.

Menurut syarikat penerbangan itu, peluasan baharu berkenaan menyokong sasaran Kelantan menarik 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa tahun ini.

Ia juga selaras dengan sasaran negara menerima 4.6 juta pelawat Indonesia sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Perkhidmatan itu akan beroperasi empat kali seminggu antara Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta menggunakan pesawat Airbus A320, dengan penerbangan dijadualkan setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Penduduk Malaysia meningkat kepada 34.4 juta, kadar pertumbuhan lebih perlahan – DOSM
Next: Kes pelaburan RM1.1 bilion: Rafizi hadir beri keterangan kepada SPRM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.