

PETRA JAYA: Cadangan pembinaan litar lumba permotoran di Bintulu dibangkitkan semula dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai langkah menangani kegiatan lumba haram melibatkan belia di kawasan itu.
Menurut Iskandar Turkee (GPS-Jepak), kegiatan lumba haram termasuk aksi berbahaya seperti ‘superman’ yang berlaku di jalan selepas Jambatan Tun Taib Mahmud baru-baru ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
“Gejala seperti ini bukan sahaja melanggar undang-undang malah dikhuatiri melibatkan unsur pertaruhan serta memberi kesan negatif kepada golongan belia.
“Pembinaan litar khas dapat menyediakan platform yang lebih selamat untuk golongan muda menyalurkan minat dalam sukan permotoran selain mengembangkan bakat ke arah lebih positif.
“Kemudahan itu juga berpotensi melahirkan pelumba Sarawak yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada sidang DUN di Kompleks DUN, hari ini.
Dalam perbahasannya, beliau turut merujuk kepada pembinaan Litar Permotoran Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus yang menurutnya berjaya membantu mengurangkan kegiatan lumba haram di negeri tersebut.

Katanya, kemudahan seperti litar Cub Prix, trek ujian pecut dan gelanggang drift disediakan bagi memberi ruang kepada belia menjalankan aktiviti permotoran dalam keadaan terkawal dan selamat.
Beliau turut memetik kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang memuji langkah kerajaan Terengganu membina litar lumba sehingga dikatakan berjaya mengurangkan gejala mat rempit di negeri itu.
Tambah beliau, Terengganu juga berjaya melahirkan beberapa pelumba berbakat termasuk Qabil Irfan Azlan dan Hakim Danish Ramli yang kini mencipta nama dalam arena perlumbaan motosikal.
Oleh Masrin Affirah