Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Sherpa buka laluan puncak Gunung Everest bagi pendakian musim bunga
  • GLOBAL

Sherpa buka laluan puncak Gunung Everest bagi pendakian musim bunga

Utusan Sarawak 18 hours ago
GAMBAR hiasan.

KATHMANDU, Nepal: Sekumpulan 10 Sherpa, yang merupakan malim gunung veteran membuka laluan ke puncak Gunung Everest hari ini bagi ekspedisi musim bunga 2026, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pasukan itu tiba di puncak setinggi 8,848.86 meter itu pada pukul 10.25 pagi waktu tempatan selepas selesai memasang tali di sepanjang laluan, menurut Penyelaras Pejabat Lapangan Kem Pangkalan Everest, Khim Lal Gautam.

Dengan pembukaan laluan itu, seramai 492 pendaki yang telah menerima permit bagi musim ini, bersama malim masing-masing, dijangka mula bergerak ke kem yang lebih tinggi sebagai persediaan untuk menakluk puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Laluan puncak tahun ini dibuka lewat lima hari berbanding musim bunga 2025, apabila pasukan Sherpa menyiapkan kerja berkenaan pada 9 Mei tahun lepas.

Mengikut tradisi, Persatuan Pengendali Ekspedisi Nepal bertanggungjawab memasang tali dari Kem II ke puncak, manakala Jawatankuasa Kawalan Pencemaran Sagarmatha membersihkan laluan dari Kem Pangkalan Everest ke Kem II.

Tahun ini, sekumpulan Sherpa veteran yang dikenali sebagai “Doktor Jatuhan Ais ” yang bertugas dengan Jawatankuasa Kawalan Pencemaran Sagarmatha, terpaksa menangguhkan operasi selama dua minggu selepas runtuhan besar “serac” – bongkah ais glasier yang tidak stabil – berlaku di laluan ke Kem I.

Pasukan itu terpaksa menunggu bongkah ais terbabit cair sebelum memasang tangga merentasi rekahan ais  dan membuka semula akses ke Kem I melalui bahagian Jatuhan Ais Khumbu yang berbahaya.

Data yang dikumpulkan oleh Jabatan Pelancongan Nepal menunjukkan tiga malim gunung yang terlibat dalam ekspedisi Everest telah meninggal dunia sejak musim mendaki bermula pada Mac lepas.

Jabatan itu menyatakan rekod 492 pendaki memperoleh permit untuk ekspedisi Everest musim bunga ini meskipun kerajaan telah menaikkan royalti pendakian.

Di bawah struktur yuran yang disemak semula, pendaki asing kini perlu membayar US$15,000 bagi permit pendakian Everest.

Gunung Everest yang terletak di sempadan antara Nepal dan China, menarik ratusan pendaki setiap tahun semasa musim bunga dengan laluan pendakian tersedia dari kedua-dua belah gunung.

-Bernama

Continue Reading

Previous: Kereta api terbabas di Belgorod Rusia dipercayai akibat bahan letupan
Next: Puluhan maut selepas hujan, ribut landa Uttar Pradesh, India

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.