Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • DUN: Sarikei perlukan poliklinik baharu, dewan konvensyen dan kawasan industri moden
  • TEMPATAN

DUN: Sarikei perlukan poliklinik baharu, dewan konvensyen dan kawasan industri moden

Utusan Sarawak 1 day ago
DATO Sri Huang Tiong Sii (GPS-Repok) ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Sarikei memerlukan pembangunan infrastruktur baharu termasuk poliklinik moden, dewan konvensyen berskala besar serta kawasan perindustrian baharu bagi menyokong pertumbuhan pesat daerah itu sebagai hab ekonomi kawasan tengah Sarawak.

Dato Sri Huang Tiong Sii (GPS-Repok) berkata kemudahan sedia ada di Sarikei semakin tidak mampu menampung peningkatan populasi dan aktiviti ekonomi semasa.

Menurut beliau, poliklinik sedia ada kini beroperasi melebihi kapasiti apabila jumlah pesakit meningkat daripada kira-kira 152,000 orang pada 2024 kepada 169,000 pesakit tahun lalu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kesesakan di ruang menunggu selain menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

“Poliklinik baharu yang lebih moden dan besar amat diperlukan bagi meningkatkan akses rawatan yang lebih cepat, selesa dan berkualiti kepada rakyat Sarikei,” katanya ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Selain itu, beliau berkata Sarikei juga memerlukan dewan konvensyen moden di luar kawasan bandar bagi menampung penganjuran seminar, persidangan, pameran dan acara berskala besar.

Menurutnya, kemudahan sedia ada seperti Dewan Suarah dan Dewan Sentral tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.

Katanya, pembangunan dewan konvensyen itu mampu merancakkan sektor perhotelan, makanan dan perkhidmatan sokongan selain memperkukuh kedudukan Sarikei sebagai pusat sosial dan ekonomi di kawasan tengah Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata rancangan mewujudkan kawasan perindustrian baharu juga penting bagi menarik pelaburan luar serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Pembangunan ini akan membantu Sarikei muncul sebagai hab industri yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan mempercepat pelaksanaan projek pemasangan lampu jalan solar di Jalan Jakar dan Jalan Kim San berikutan peningkatan kes kemalangan akibat keadaan jalan gelap.

Menurutnya, Jalan Kim San sahaja melibatkan lebih 150 rumah termasuk sembilan rumah panjang yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

DATO Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang) ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. Foto UKAS

Selain Repok, Dato Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang) turut membangkitkan isu kemudahan asas apabila meminta kerja pembaikan jalan selepas kerja paip oleh Sarawak Water dilakukan dengan lebih sempurna.

Beliau berkata terdapat beberapa kawasan yang masih mengalami tekanan air rendah termasuk Kampung Bunga Rampai dan Rancangan Perumahan Rakyat Landeh di Batu 10.

JOHN Ilus (GPS-Bukit Semuja) ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. Foto UKAS

Dalam perkembangan berkaitan, John Ilus (GPS-Bukit Semuja) pula membangkitkan isu gangguan elektrik dan internet yang kerap berlaku di Serian.

Menurut beliau, masalah itu berpunca daripada faktor geografi berbukit, kerosakan kabel gentian optik, kekurangan menara telekomunikasi serta gangguan bekalan elektrik di pencawang telekomunikasi luar bandar.

Katanya, gangguan internet memberi kesan besar kepada pelajar, peniaga dalam talian dan urusan harian masyarakat di Serian yang kini semakin berkembang sebagai bahagian pentadbiran baharu.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Jambatan Batang Lupar 1 dibuka 21 Mei, operasi feri tamat 22 Mei
Next: DUN: Lebih separuh permohonan program Pemutihan Warganegara di Sarawak ditolak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.