Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • DUN: Empat ADUN GPS sokong usul Ombudsman, DAP bantah
  • TEMPATAN

DUN: Empat ADUN GPS sokong usul Ombudsman, DAP bantah

Utusan Sarawak 3 hours ago
ROYSTON Valentine (GPS-Tellian). Foto Ukas

PETRA JAYA: Perbahasan usul pelantikan Jawatankuasa Pilihan Khas di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 menyaksikan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh tadbir urus, integriti dan akauntabiliti pentadbiran kerajaan negeri.

Perbahasan itu menyaksikan Royston Valentine (GPS-Tellian), Abdul Yakub Arbi (GPS-Balingian), Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin), Wilfred Yap (GPS-Kota Sentosa) dan Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) masing-masing membawa pandangan berbeza mengenai pemerkasaan institusi Ombudsman di Sarawak.

Menurut Royston, penubuhan jawatankuasa tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sistem semak dan imbang serta memastikan setiap syor Ombudsman diberi perhatian serius oleh agensi kerajaan.

“Ombudsman bukan sekadar mekanisme menerima aduan rakyat tetapi simbol kepada sebuah kerajaan matang yang bersedia dipertanggungjawabkan.

“Kerajaan yang berjaya ialah kerajaan yang mempunyai sistem semak dan imbang yang kukuh serta berani memperbaiki kelemahan secara terbuka demi kesejahteraan rakyat,” katanya pada sidang DUN di Kompleks DUN, hari ini.

Beliau turut mengaitkan pemerkasaan Ombudsman dengan aspirasi PCDS 2030 yang memerlukan asas integriti kukuh bagi menyokong pembangunan ekonomi dan keyakinan pelabur.

ABDUL Yakub Arbi (GPS-Balingian).

Sementara itu, Abdul Yakub menegaskan bahawa tadbir urus baik merupakan asas kepada kestabilan dan ketamadunan sesebuah masyarakat.

Beliau menghuraikan konsep GIAT yang merangkumi Tadbir Urus Baik, Integriti, Akauntabiliti dan Ketelusan (Good Governance, Integrity, Accountability and Transparency) sebagai prinsip utama dalam pentadbiran moden.

“Sarawak bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai jawatankuasa legislatif khusus berkaitan fungsi Ombudsman dan akauntabiliti awam.

“Tadbir urus merupakan asas utama yang menjadi landasan kepada pembangunan kestabilan, kemakmuran dan ketamadunan sesebuah masyarakat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Christopher Gira melihat penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas sebagai platform penting untuk memperkukuh fungsi pengawasan DUN terhadap pelaksanaan dasar serta projek kerajaan.

“Banyak isu melibatkan kawasan luar bandar seperti bekalan air, projek jalan raya, kelemahan pelaksanaan dan kesalinghubungan digital memerlukan penelitian yang lebih mendalam melalui mekanisme yang lebih tersusun.

CHRISTOPHER Gira Sambang (GPS-Tamin). Foto Ukas

“Kadangkala, perkara seperti ini terlalu teknikal dan terlalu kompleks untuk diselesaikan hanya melalui pertanyaan lisan serta perbahasan biasa,” tambahnya.

Christopher turut menegaskan bahawa integriti bukan hanya berkaitan rasuah tetapi turut melibatkan ketelusan dalam membuat keputusan, kecekapan pelaksanaan dan keberanian memperbaiki kelemahan sistem pentadbiran.

Sementara itu, Wilfred Yap menyifatkan penubuhan jawatankuasa tersebut sebagai bukti jelas perbezaan antara retorik politik dan pelaksanaan reformasi sebenar.

 WILFRED Yap (GPS-Kota Sentosa).

“GPS bukan sekadar bercakap mengenai reformasi tetapi melaksanakan perubahan melalui Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas.

“Pembangkang bercakap tanpa henti tentang reformasi. GPS melaksanakan reformasi.

“Jawatankuasa tersebut bukan gimik politik tetapi satu mekanisme institusi bagi memastikan isu berkaitan salah tadbir, kelewatan dan kelemahan penyampaian perkhidmatan awam diteliti secara serius,” ujarnya.

Empat ADUN GPS yang menyokong usul itu menekankan kepentingan pengukuhan institusi Ombudsman, sistem semak dan imbang, ketelusan pentadbiran serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

CHONG Chieng Jen (DAP-Padungan).

Bagaimanapun, Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) tidak menyokong usul berkenaan dan menyuarakan pandangan berbeza ketika sesi perbahasan berlangsung.

Semasa membahaskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman, Chong menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa tersebut tetapi menentang komposisi ahlinya yang terdiri daripada ahli GPS sahaja dan seorang ahli bebas yang beliau anggap pro kepada gabungan pemerintah.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak tubuh jawatankuasa khas perkukuh semak dan imbang Ombudsman
Next: DUN: Projek MVCC Kapit-Baleh dijangka siap 2027, sambungan ke rumah panjang dalam kajian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.