
BEKENU: Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah akan diadakan di Dewan Masyarakat Sepupok Niah pada Sabtu ini, bermula 6.30 pagi.
Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Miri ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik untuk semua peringkat umur.
Menurut kenyataan AADK, program ini bertujuan menyebar kesedaran antidadah serta merapatkan hubungan agensi dengan masyarakat setempat.
Antara kemuncaknya ialah sesi senaman pagi, pemeriksaan kesihatan percuma oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), pendaftaran ahli Persatuan Pencegahan Dadah (PEMADAM) dan Skuas Antidadah, serta pertandingan karaoke, mewarna kanak-kanak, melastik dan pertandingan masakan sambal belacan serta ulam-ulaman.
Selain itu, pengunjung juga boleh melawat pameran pelbagai agensi, mendengar sesi Bicara Santai daripada pegawai AADK, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Skuad serta mengemukakan aduan atau pertanyaan di kaunter khas yang turut mempromosikan produk Bitara Elektrik SUKA.
Sehubungan dengan itu, penganjur berharap kehadiran orang ramai bagi menyokong usaha melahirkan komuniti yang sihat, bersatu padu dan bebas daripada ancaman dadah.
Program ini terbuka kepada semua penduduk sekitar Niah dan kawasan berdekatan tanpa sebarang bayaran penyertaan. Kemeriahan akan ditutup dengan perarakan motosikal Acara Pelepasan Konvoi Motosikal.
Oleh Adum Liu