
MULU: Seramai 47 peserta dari Kampung Melinau Mulu, Kampung Batu Bungan dan Long Iman menyertai Kursus Asas Sukarelawan Pertahanan Awam Daerah Kecil Mulu Siri 1/2026 yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri berkata kursus yang diadakan di Diana Inap Desa itu bertujuan menyemai semangat kesukarelawanan serta memupuk sikap sentiasa bersedia memberi bantuan dan pertolongan kepada masyarakat.
Menurut beliau, program tersebut juga bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran asas pertahanan awam yang perlu dimiliki setiap anggota sukarelawan.
“Peserta turut didedahkan dengan tugas dan fungsi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) secara lebih jelas melalui latihan dan sesi pembelajaran yang dijalankan,” katanya.


Beliau berkata, orang awam yang ingin menyertai Sukarelawan Pertahanan Awam perlu mengikuti kursus selama 16 jam atau dua hari.
Antara silibus yang dipelajari sepanjang kursus ialah pengenalan APM, bantuan pernafasan kecemasan atau Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), bantuan bagi kes tercekik, balutan luka dan patah, ikatan dan simpulan, teknik menyelamat kecemasan, pengenalan alat pemadam api kecil serta kawad kaki.
Majlis penutupan program disempurnakan Pengarah Pertahanan Awam Negeri, TPj. (PA) Mohtar Samat.
Turut hadir Ketua Cawangan Latihan Pejabat Pertahanan Awam Negeri, Kapt. (PA) Hasrol Awi.
Oleh Jiku Juguong