
MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) terus memperkukuh kesiapsiagaan operasi di utara Sarawak menerusi usaha memperkemas pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan Ibu Pejabat Maritim Zon Miri melalui Mesyuarat Tempoh Liabiliti Bil. 7 yang berlangsung semalam.
Pengarah Zon Maritim, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, mesyuarat itu menjadi platform penting bagi memastikan setiap isu penyelenggaraan serta kerja pembaikan di kompleks berkenaan dapat diselaras secara menyeluruh mengikut tempoh ditetapkan.
Menurut beliau, langkah berkenaan penting bagi menjamin kesiapsiagaan operasi, selain memastikan keselesaan warga kerja sentiasa berada pada tahap optimum.
Mesyuarat yang bermula 10.00 pagi itu melibatkan delegasi daripada Ibu Pejabat Maritim Malaysia yang diketuai Pengarah Bahagian Pembangunan, Laksamana Pertama Maritim Zulinda Ramly bersama pegawai kanan Maritim Zon Miri, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak kontraktor.

Antara fokus utama perbincangan ialah pembentangan laporan penyelenggaraan, status kerja pembaikan bangunan dan infrastruktur, selain penyelarasan tindakan susulan berkaitan tempoh liabiliti sebelum proses penyerahan kepada JKR Sarawak dilaksanakan.
Khairol Anuar berkata, mesyuarat itu juga menjadi medium penting untuk semua pihak berkepentingan meneliti isu teknikal serta keperluan penambahbaikan yang masih perlu diberi perhatian bagi memastikan pengurusan fasiliti dapat diteruskan secara lebih tersusun dan berkesan.
Usai mesyuarat, delegasi turut mengadakan lawatan sekitar kompleks sebelum meneruskan tinjauan laut menggunakan aset KM STAPA bagi meninjau sendiri pelaksanaan operasi serta keadaan perairan di bawah tanggungjawab Maritim Zon Miri.
Oleh Liong Chai Ling