
JAKARTA: Indonesia mengetatkan pemeriksaan dan pemantauan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta bagi pelancong yang tiba dari empat negara berikutan kebimbangan penularan Hantavirus.
Ketua Pusat Kuarantin Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Naning Nugrahini berkata pemantauan yang dipertingkatkan itu terpakai untuk pelancong yang tiba dari Amerika Syarikat, Argentina, Uruguay dan Panama.
“Sehubungan itu, kami mengetatkan penyeliaan ke atas negara-negara yang telah pun mengesan atau mengenal pasti Hantavirus,” katanya menurut Agensi Berita Antara, pada Selasa.
Naning berkata senarai negara boleh diperluas dan diteliti semula sekiranya terdapat kes atau perkembangan baharu.
Beliau berkata pasukannya telah pun menjalankan langkah-langkah persediaan di lapangan terbang, termasuk deklarasi kesihatan menerusi aplikasi Satu Sehat, pengimbasan haba dan lorong penilaian khusus untuk penyakit berjangkit.
“Kami juga mempunyai ambulans khas untuk penyakit berjangkit, kerana individu yang kami angkut dan dirujuk adalah mereka yang mempunyai penyakit berjangkit,” katanya.
Beliau menggesa pengembara udara untuk terus berwaspada dan mematuhi protokol kesihatan, menyatakan bahawa Hantavirus boleh disebarkan melalui air kencing, air liur dan pencemaran daripada tikus.
-Bernama