Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: RUU Lembaga Padi dan Beras jawab kelemahan sektor pertanian Sarawak
  • SEMASA

DUN: RUU Lembaga Padi dan Beras jawab kelemahan sektor pertanian Sarawak

Utusan Sarawak 7 hours ago
DATUK Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang) ketika membahaskan RUU pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 yang dibahaskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini disifatkan sebagai langkah penting bagi menangani pelbagai kelemahan dalam sektor padi dan beras negeri, termasuk isu koordinasi, pengairan, produktiviti dan kebergantungan terhadap import beras.

Datuk Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang) berkata, kelemahan yang dibangkitkan beberapa wakil pembangkang seperti pelaksanaan berpecah, koordinasi lemah, masalah logistik, pengairan dan produktiviti rendah sebenarnya menjadi alasan paling kukuh mengapa lembaga khas itu perlu diwujudkan.

Menurut beliau, Sarawak memerlukan institusi khusus yang mampu menyelaras pembangunan industri padi dan beras secara lebih tersusun serta berfokus.

“Lembaga ini bukan sekadar menambah institusi baharu tetapi menjadi mekanisme untuk memperkukuh perancangan, pemantauan, penyelarasan infrastruktur, pengairan, pengurusan stok serta sokongan kepada petani.

“Tanpa institusi penyelaras khusus, usaha pembangunan akan terus berpecah antara pelbagai agensi tanpa akauntabiliti dan kesinambungan yang jelas,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN, hari ini.

Beliau turut menegaskan Sarawak tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada import beras memandangkan dunia kini berdepan ketidaktentuan akibat perubahan iklim, konflik geopolitik serta gangguan rantaian bekalan makanan global.

DR Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu) ketika membahaskan RUU pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN, hari ini. Foto UKAS

Sementara itu, Dr Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu) berkata penubuhan lembaga tersebut amat penting bagi memperkukuh keupayaan Sarawak mengawal selia, menyokong dan membangunkan industri padi dan beras negeri.

Menurut beliau, Sarawak ketika ini menyasarkan peningkatan tahap sara diri (SSL) beras kepada 60 peratus menjelang 2030 menerusi pembangunan 14,000 hingga 15,000 hektar kawasan jelapang padi baharu dan dinaik taraf di seluruh negeri.

Katanya, lembaga tersebut juga mampu membantu kerajaan memantau simpanan beras tempatan, menyelaras pengeluaran, mengawal paras stok serta bertindak pantas ketika krisis bekalan makanan.

“Dalam era gangguan bekalan makanan global, ketidaktentuan iklim dan tekanan geopolitik, Sarawak mesti mempunyai kawalan institusi dan perundangan yang lebih kukuh terhadap ekosistem padi dan beras,” katanya.

Beliau berkata penubuhan lembaga itu juga penting bagi melindungi kebajikan petani termasuk menstabilkan harga padi, menyediakan subsidi dan insentif serta memperkukuh sistem pengairan dan logistik.

Beliau berkata penggunaan teknologi moden seperti dron, Internet Kebendaan (IoT), automasi pertanian dan sistem pengairan pintar perlu diperluaskan bagi meningkatkan hasil pengeluaran serta mengurangkan kos operasi.

NICHOLAS Kudi Jantai (GPS-Baleh) ketika membahaskan RUU pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN, hari ini. Foto UKAS

Dalam pada itu, Nicholas Kudi Jantai (GPS-Baleh) berkata Sarawak ketika ini hanya mampu menghasilkan sekitar 30,000 tan metrik beras setahun berbanding keperluan negeri yang mencecah 450,000 tan metrik.

Katanya, keadaan itu menyebabkan tahap sara diri beras Sarawak hanya sekitar 21 peratus sekali gus menunjukkan kebergantungan tinggi terhadap import luar.

“Oleh itu, sasaran kerajaan Sarawak untuk meningkatkan tahap sara diri beras kepada 60 peratus menjelang 2030 amat penting dalam memastikan keselamatan makanan negeri dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau turut berharap kawasan berpotensi seperti Tunoh di Baleh dapat diberikan perhatian sebagai kawasan baharu penanaman padi berteknologi tinggi.

Menurut Nicholas, penggunaan teknologi moden termasuk dron pertanian, mekanisasi ladang dan sistem pengairan pintar bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti malah membuka peluang pekerjaan baharu khususnya kepada golongan belia luar bandar.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: BUDI95 hadkan 200 liter sebulan, bantu stabilkan bekalan
Next: Ribut petir, hujan lebat dijangka landa hampir semua negeri termasuk Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.