
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau anggota yang dikesan terlibat dalam aktiviti jenayah, termasuk dakwaan penglibatan dalam sindiket pengedaran dadah.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya sedia maklum mengenai laporan berhubung rangkaian pengedaran dadah di Pulau Langkawi yang didakwa didalangi oleh seorang anggota polis.
Beliau berkata perkara itu kini berada di bawah siasatan rapi bagi mengenal pasti individu dan kumpulan yang terlibat sebelum tindakan lanjut diambil.
“Kami masih lagi dalam siasatan. Saya perlu pastikan siapakah individu atau kumpulan yang berkaitan. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika ia melibatkan pelanggaran keselamatan dan undang-undang negara,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Dialog Khas PDRM kali kelima di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan mengenai pembongkaran satu sindiket pengedaran dadah yang beroperasi secara tersusun di sekitar kepulauan Langkawi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penglibatan ‘orang dalam’.
Mohd Khalid ketika mengulas mengenai Dialog Khas itu berkata ia adalah inisiatif berterusan PDRM untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memantapkan corak siasatan pasukan.
Menurut beliau, berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini yang lebih bersifat individu mengikut jabatan, kolaborasi tahun ini melibatkan penyertaan menyeluruh pelbagai agensi dalam PDRM.
“Tahun ini kami melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan semua jabatan berkepentingan untuk memastikan gerak kerja yang lebih bersepadu (unified),” katanya.
Mohd Khalid berkata sinergi antara jabatan penting bagi memastikan setiap siasatan berkaitan isu keselamatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi menjamin keselamatan negara.- Bernama