Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • DUN: Sarawak mahu kawal sendiri urusan padi, beras bukan bercanggah undang-undang Persekutuan
  • TEMPATAN

DUN: Sarawak mahu kawal sendiri urusan padi, beras bukan bercanggah undang-undang Persekutuan

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATO Sri Dr Stephen Rundi Utom membentangkan RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada sidang DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya. Foto: Ukas

PETRA JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 yang dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini bertujuan melengkapi kerangka Persekutuan sedia ada, bukannya bercanggah dengan sistem kawal selia nasional.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, RUU baharu itu dirangka bagi memperkukuh peranan Sarawak dalam pembangunan dan penyelarasan industri padi serta beras demi manfaat rakyat untuk jangka panjang.

“Dalam hal ini, kita telah mengambil langkah signifikan untuk memperkukuh kawalan Sarawak terhadap industri padi dan beras.

“RUU ini direka bentuk untuk memperkasakan Sarawak mengurus, membangun dan mengekalkan industri padi dan beras demi manfaat rakyat kita, bukan sahaja pada masa kini tetapi juga untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan untuk bacaan kali pertama RUU tersebut pada sidang DUN hari ini.

Stephen Rundi berkata, industri padi dan beras di peringkat nasional ketika ini tertakluk di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dengan pengawasan dasar dan kawal selia dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, manakala sokongan operasi dikendalikan oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

“Kerajaan negeri memberi penekanan bahawa RUU ini tidak bertujuan menggantikan atau mengatasi undang-undang Persekutuan, sebaliknya memperkukuh peranan Sarawak dalam pembangunan dan penambahbaikan industri berkenaan.

“RUU ini tidak bertujuan menggantikan atau bercanggah dengan kerangka Persekutuan sedia ada, sebaliknya melengkapi sistem tersebut khususnya dalam memperkukuh peranan Sarawak dalam industri padi dan beras di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak menerusi RUU itu akan menjadi platform penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negeri.

“Ini termasuk aspek perancangan pengeluaran, pengurusan pengedaran, pembangunan petani dan sistem pemantauan industri secara lebih tersusun.

“Langkah ini juga membuka ruang kepada Sarawak melaksanakan fungsi tertentu melalui penurunan kuasa dari Kerajaan Persekutuan sekiranya bersesuaian tanpa menjejaskan bidang kuasa sedia ada,” katanya.

Untuk rekod, RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 merupakan RUU baharu yang dibentangkan di DUN bagi mewujudkan kerangka perundangan khusus untuk mengawal selia dan membangunkan industri padi serta beras di Sarawak.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: DUN: Pelan transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak masuk fasa pindaan undang-undang
Next: DUN: Lebih 1,900 kes pertikaian tanah adat Bumiputera masih belum selesai di Mahkamah Bumiputera Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.