
SIBU: Sibu perlu bertindak segera mempercepat pembangunan industri dan pertanian baharu bagi mengelak bandar itu terus ketinggalan berbanding bandar utama lain di Sarawak, kata Pengerusi Eksekutif Delta Leasing Bhd Gregory Hii Sui Cheng.
Beliau berkata Sibu yang suatu ketika dahulu dianggap bandar kedua terpenting di Sarawak selepas Kuching kini semakin perlahan dari segi pembangunan dan pertumbuhan pelaburan berbanding Miri dan Bintulu.
Beberapa pembangunan mercu tanda termasuk Pelabuhan Rajang berhampiran Tua Pek Kong Temple, zon pembinaan kapal Rantau Panjang dan kampus University of Technology Sarawak pernah menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi bandar itu.
Bagaimanapun, beliau berkata Sibu kini memerlukan pemacu pembangunan baharu bagi mengembalikan daya saing ekonominya sebagai hab utama wilayah tengah Sarawak.
Antara projek utama yang sedang dirancang ialah pembangunan semula Bukit Assek seluas 323.75 hektar, projek Hospital Rejang yang diterajui pihak swasta serta cadangan pembinaan jambatan kedua sepanjang 400 meter yang menghubungkan Sibu dengan Sungai Bidut.
“Meskipun projek-projek ini akan menyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi Sibu dan wilayah tengah, skala pembangunan masih ketinggalan berbanding Kuching, Miri dan Bintulu,” katanya kepada Bernama.
Justeru itu, bagi memperkukuh kedudukan ekonomi Sibu pada masa depan, Dr Hii menyokong cadangan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) untuk mewujudkan kawasan perindustrian baharu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Selain itu, beliau turut mencadangkan pembangunan taman pertanian yang memberi tumpuan kepada penanaman berskala besar termasuk ubi kayu dan cendawan bagi mempelbagaikan ekonomi tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Muzium yang lebih besar dan dibina khusus juga akan menjadi tarikan tambahan bagi Sibu,” katanya.
Cadangan berkenaan katanya dikemukakan kepada wakil rakyat dan menteri susulan kebimbangan terhadap pengurangan hubungan penerbangan, pertumbuhan pelaburan swasta yang lebih perlahan serta penghijrahan keluar golongan muda berbakat dari bandar itu.
“Jika kita tidak bergerak ke hadapan, kita akan terus ketinggalan. Keadaan itu tidak baik untuk penduduk Sibu dan boleh menyebabkan lebih ramai penduduk tempatan berhijrah keluar,” katanya.
Berdasarkan unjuran 2026, populasi bandar Sibu dianggarkan antara 189,927 dan 198,239 orang, dengan Sibu Jaya terus mencatat pertumbuhan pesat kawasan kediaman serta muncul sebagai hab perumahan utama di wilayah berkenaan.
Bandar itu kekal sebagai antara pusat ekonomi utama di wilayah tengah Sarawak, disokong komposisi demografi pelbagai kaum yang terdiri daripada kira-kira 48 peratus masyarakat Cina dan 52 peratus Bumiputera termasuk Iban, Melayu dan Melanau.
Bagaimanapun, Sibu terus berdepan beberapa cabaran struktur termasuk penghijrahan keluar golongan muda berbakat, risiko banjir, kekurangan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta persaingan daripada pusat bandar lebih besar seperti Kuching, Miri dan Bintulu.
Dr Hii berkata visi pembangunan semula Bukit Assek juga mampu menjadi antara faktor penting untuk menarik generasi muda kembali ke Sibu, sekali gus menyokong aspirasi bandar itu mencapai status bandar raya pada masa depan. – Bernama