
MINGGU lepas wacana ini telah membicarakan bagaimana keadaan penanaman getah di Sarawak selepas Perang Dunia Kedua. Kesan perang tersebut membawa kepada masalah ke atas ladang dan operasi penanaman getah tersebut.
Pentadbiran British yang mengambil alih kuasa daripada pemerintahan Brooke memikul tanggungjawab besar untuk memulihkan sektor pertanian komersial itu.
Usaha ini ternyata tidak sia-sia kerana mereka berjaya mengembalikan tahap pengeluaran getah komersial kepada tahap sebelum perang. Malah, jumlah pengeluarannya menunjukkan peningkatan yang konsisten, kecuali pada 1949.
Meskipun berlaku sedikit kelembapan dalam pengeluaran getah pada 1949, situasi tersebut tidak menghalang langkah pembangunan perusahaan berkenaan. Hal ini demikian kerana kerajaan British tetap komited meneruskan usaha memulihkan semula industri tersebut secara berterusan.
Apa yang menariknya berlaku pada awal 1950-an adalah meletusnya Perang Korea. Perkembangan ini mempengaruhi harga getah dunia yang mula naik. Hal ini membawa kepada peningkatan pengeluaran getah di Sarawak.
Teknik
Pada 1950 teknik penanaman getah sebelum ini diteruskan dengan menggunakan cara mata tunas dan klon. Dalam hal ini Jabatan Pertanian memainkan peranan utama dalam penghasilan mata tunas yang berkualiti.
Usaha ini berdepan cabaran kerana proses cantuman pokok getah pekebun kecil tidak berjaya sepenuhnya. Masalah ini berpunca daripada ketidaksesuaian anak benih dan kurangnya kemahiran dalam penjagaan teknik cantuman tersebut.
Dalam aspek benih klon bermutu tinggi pula pihak Jabatan Pertanian telah mengimportnya dari Tanah Melayu dan Borneo Utara (Sabah). Pada 1951 benih klon yang diimport dari dua tempat tersebut adalah berjumlah 135,000 benih.
Jabatan Pertanian juga berusaha meningkatkan pengeluaran klon benih getah di tapak semaian kerajaan. Meskipun usaha ini berjaya pada peringkat awal, keberkesanannya terjejas akibat kegagalan pekebun kecil mengaplikasikan teknikpenanaman dengan betul.
Kekurangan kemahiran ini akhirnya menyebabkan banyak anak pokok mati.
Tahun berikutnya pengimportan klon benih ini agak terhad. Alternatif digunakan adalah menggunakan klon benih getah tempatan.

Pemprosesan
Dalam aspek pemprosesan susu getah (lateks) pula, pihak jabatan telah mendirikan sebuah kilang pemprosean getah di Kuap. Kemudahan ini membolehkan ramai pekebun kecil menghantar susu getah mereka ke kilang tersebut, tetapi terdapat juga pekebun getah yang tidak menghantar susu getah itu ke kilang tersebut.
Ini kerana ada dalam kalangan mereka memproseskan sendiri di kebun mereka. Untuk mengatasi hal ini, usaha telah dibuat untuk mengalakkan mereka menghantarkan susu getah ini ke kilang jabatan tersebut.
Sementara itu kilang yang digerakkan oleh pihak jabatan tersebut berjaya menghasilkan getah bermutu tinggi walaupun susu getah dihantar daripada pelbagai pihak.
Ini merupakan satu kejayaan kepada Kilang Getah Kuap yang mampu mengeluarkan getah mutu tinggi iaitu tahap R.S.S. No1. Rentetan dengan perkara ini ramai pelawat telah datang untuk mengadakan lawatan sambil belajar di kilang tersebut.
Tunjuk ajar dan nasihat telah lakukan oleh Syarikat Harrisons & Crosfield Ltd. Syarikat itu memberi bantuan untuk menerangkan dan menunjuk ajar teknik pengredan getah yang betul.
Kejayaan kilang ini membantu usaha membina sebuah lagi kilang kecil berhampiran dengan kilang utama.
Walaupun pada 1952 kilang getah ini mampu mengeluarkan 95 peratus getah gred R.S.S. No.1 tetapi berbeza dengan gred getah yang dieksport dari Sarawak.
Ini kerana gred getah yang dieksport untuk gred No.1 ini hanyalah lapan peratus, manakala selebihnya adalah 18 peratus untuk gred No.2, 44 peratus untuk gred No.4 dan 12 peratus untuk No.5.
Hal ini menjadi persoalan besar dalam kalangan pegawai di Jabatan Pertanian. Kajian telah dijalankan bagi mengenal pasti punca masalah tersebut, dan hasil dapatan menunjukkan bahawa faktor utamanya berkaitan dengan pengurusan pekebun kecil.
Rentetan itu, langkah proaktif telah diambil dengan membina sebuah lagi kilang pemprosesan getah di Sibu bagi mengatasi isu berkenaan.
Jumlah
Dalam aspek pengeluaran pula dalam tempoh 1949 hingga 1951 menampakkan peningkatan dalam pengeluaran hasil getah Sarawak.
Data eksport menunjukkan bahawa pengeluaran eksport Sarawak pada 1949 adalah 652,637 pikul iaitu jatuh sedikit daripada tahun sebelumnya.
Tetapi ia mula meningkat semula pada 1950 dengan eksport sebanyak 932,980 pikul.
Jumlah ini menunjukan peningkatan mendadak daripada tahun sebelumnya. Pada 1951 pula jumlah pengeluaran eksport getah Sarawak hanya 714,352 pikul sahaja. Jumlah ini terus turun kepada paras agak rendah iaitu 528,541 pikul pada 1952.
Perkembangan naik turunnya eksport getah ini ada kaitan dengan harga getah tersebut. Pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua harga getah satu pikul adalah $43 (1947), $45 (1948) dan $ 45 (1949) masing-masing.
Apabila masuk pada 1950, nilai purata getah meningkat kepada $197 satu pikul. Hal ini dikaitkan dengan Perang Korea yang bermula pada tahun tersebut, membawa kepada pemintaan getah tinggi.
Nilai puratanya turun sedikit pada 1951 kepada $164.66 satu pikul. Nilai ini terus jatuh kepada $106.19 pada 1952. Penurunan nilai getah purata pada 1951 dan 1952 ini masih lagi mengatasi nilai purata sebelum 1950-an.
Perkembangan penanaman getah pada awal 1950-an menunjukkan suatu bentuk dikotomi. Hal ini demikian kerana usaha kerajaan untuk menggalakkan penanaman getah melalui penggunaan teknik baharu tidak begitu diterima atau diadaptasi oleh pekebun kecil.
Bagaimanapun, usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti susu getah menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan. Namun begitu, usaha tersebut turut terjejas akibat tindakan sebahagian pekebun kecil yang memproses susu getah sendiri, sehingga menyebabkan mutu getah yang dihasilkan menurun.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).