Pasangan Jerman dipenjara di Sepanyol selepas kanak-kanak dikurung dalam ‘rumah ngeri’

Facebook
WhatsApp
PASANGAN Jerman dihukum penjara selepas anak dikurung dan diabaikan dalam ‘rumah ngeri’. Foto AGENSI

MADRID: Sepasang suami isteri warga Jerman dijatuhi hukuman penjara dua tahun 10 bulan di Sepanyol selepas mengurung tiga anak mereka dalam sebuah “rumah ngeri” yang dipenuhi sampah selama tiga tahun setengah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Mahkamah di bandar utara Oviedo pada Isnin mendapati lelaki berusia 54 tahun itu dan isterinya berusia 49 tahun bersalah atas kesalahan penderaan psikologi dan pengabaian, namun dibebaskan daripada pertuduhan lebih serius iaitu penahanan secara tidak sah.

Pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman penjara 25 tahun terhadap pasangan itu dalam kes mengejutkan yang menjadi tajuk utama media di Sepanyol dan Jerman.

Kanak-kanak terbabit iaitu pasangan kembar berusia lapan tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun diselamatkan pada akhir April 2025 selepas seorang jiran memaklumkan perkara itu kepada polis. Penyiasat menyifatkan kediaman itu sebagai “rumah ngeri”.

Pasangan terbabit menegaskan mereka tidak bersalah dan mendakwa mengasingkan ketiga-tiga anak mereka daripada dunia luar bagi melindungi mereka daripada dijangkiti penyakit seperti Covid-19.

Bagaimanapun, polis memberitahu dpa bahawa kanak-kanak itu ditemukan “kotor, memakai pijama dan diabaikan secara serius” selain “mengalami kekurangan zat makanan yang ketara”.

Rumah itu dilaporkan “dipenuhi sampah di merata-rata tempat” manakala seekor kucing yang sakit tenat turut ditemukan dikelilingi najis.

Kanak-kanak terbabit dilaporkan dipaksa memakai lampin dan pelitup muka serta diasingkan sepenuhnya daripada dunia luar termasuk tidak dibenarkan keluar ke taman rumah. – Bernama-dpa

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos

Amaran gelombang haba di Seoul

SEOUL: Agensi cuaca negeri mengeluarkan amaran gelombang haba bagi kebanyakan kawasan di Seoul pada Rabu, iaitu amaran kedua bagi ibu negara