Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • The Beatles buka muzium rasmi pertama di London
  • HIBURAN

The Beatles buka muzium rasmi pertama di London

Utusan Sarawak 15 hours ago
MUZIUM…. The Beatles bakal membuka muzium rasmi pertama mereka di bandar raya London tahun depan di bangunan 3 Savile Row di kawasan Mayfair, lokasi kumpulan itu merakam album terakhir dan mengadakan persembahan awam terakhir mereka.

LONDON: The Beatles bakal membuka muzium rasmi pertama mereka di bandar raya London tahun depan di bangunan 3 Savile Row di kawasan Mayfair, lokasi kumpulan itu merakam album terakhir dan mengadakan persembahan awam terakhir mereka.

Tarikan yang dinamakan ‘The Beatles at 3 Savile Row’ itu akan menampilkan tujuh tingkat bahan arkib yang belum pernah dipamerkan sebelum ini, selain studio bawah tanah yang dibina semula, tempat kumpulan berkenaan merakam album Let It Be pada 1970.

Pengunjung ke premis berkenaan di kawasan mewah tengah bandar itu, yang terkenal di peringkat antarabangsa dengan kedai jahit tempahan khas tradisional, turut berpeluang mengakses bahagian bumbung bangunan, lokasi kumpulan itu mengadakan persembahan ikonik pada 1969.

Paul McCartney berkata pelancong yang berkunjung ke United Kingdom boleh menziarahi Abbey Road, namun tidak dapat memasuki bangunan berkenaan, justeru pembukaan muzium itu disifatkan sebagai satu idea yang amat baik.

MUZIUM… The Beatles bakal membuka muzium rasmi pertama mereka di bandar raya London tahun depan di bangunan 3 Savile Row di kawasan Mayfair, lokasi kumpulan itu merakam album terakhir dan mengadakan persembahan awam terakhir mereka.

Menurut beliau, idea tersebut tercetus hasil usaha Apple Corps, syarikat yang mengurus kepentingan perniagaan kumpulan itu sejak 1968, untuk menilai semula makna The Beatles serta kehendak peminat pada masa ini.

Apple Corps sebelum ini memiliki bangunan Savile Row itu selama lapan tahun bermula 1968. Bangunan tersebut menjadi ibu pejabat kumpulan berkenaan selama dua tahun sebelum pembubaran mereka pada 1970, selain terus digunakan bagi urusan perniagaan selepas itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple Corps, Tom Greene, berkata pihaknya teruja membawa syarikat itu kembali ke “rumah spiritualnya” dan menawarkan sesuatu yang istimewa kepada peminat.

Beliau berkata setiap hari peminat merakam gambar bahagian luar 3 Savile Row, namun mulai tahun depan mereka berpeluang memasuki bangunan ikonik itu dan meneroka ketujuh-tujuh tingkatnya, termasuk bahagian bumbung yang masih mengekalkan pagar asal dari hari bersejarah pada 1969.

Rakaman konsert pada 30 Januari 1969, iaitu kali terakhir orang ramai menyaksikan kumpulan itu membuat persembahan secara terbuka, baru-baru ini dipulihkan dan dimuatkan dalam dokumentari Get Back arahan Peter Jackson.

McCartney berkata pengunjung akan menaiki bangunan Savile Row itu dan melihat pelbagai memorabilia sebelum berpeluang ‘berpura-pura menjadi anggota Beatles’ di atas bumbung.

Menurut Apple Corps, muzium berkenaan turut menampilkan pameran bergilir serta kedai barangan peminat.

McCartney berkata terdapat begitu banyak kenangan istimewa di sebalik dinding bangunan itu, khususnya di bahagian bumbung.

Ringo Starr, 85, satu-satunya anggota kumpulan yang masih hidup selain McCartney, menyifatkan pameran itu sebagai ‘seperti pulang ke rumah’.

Apple Corps memaklumkan butiran lanjut mengenai pembukaan muzium itu, serta pengalaman kedua yang sedang dibangunkan, akan diumumkan kemudian.

Sementara itu, peminat boleh mendaftar untuk mendapatkan tiket melalui laman rasmi The Beatles.  

Bandar kelahiran kumpulan itu, Liverpool, kini mempunyai dua tarikan iaitu Liverpool Beatles Museum dan The Beatles Story, namun kedua-duanya tidak dilesenkan secara rasmi oleh Apple Corps.

-AFP

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Jom bawa keluarga sertai Orkestra Filharmonik Malaysia terokai pengembaraan muzik yang luar biasa pada 23 Mei
Next: 4 dekad Fauziah Latiff: Kembara kejujuran, nostalgia malar segar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.