
DHAKA: Seramai 344 kanak-kanak maut sejak wabak campak bermula di Bangladesh pada Mac tahun ini dengan bilangan kes terus meningkat, menurut pegawai kesihatan kerajaan pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Direktorat Am Perkhidmatan Kesihatan kerajaan memaklumkan bahawa 11 kanak-kanak meninggal dunia dalam tempoh 24 jam yang berakhir pada pagi semalam. Daripada jumlah itu, empat disahkan dijangkiti campak manakala tujuh yang lain meninggal dunia selepas menunjukkan gejala penyakit itu.
Daripada keseluruhan 344 kanak-kanak yang maut sejak 15 Mac, seramai 65 disahkan dijangkiti campak manakala selebihnya meninggal dunia dengan gejala penyakit itu.
Laporan itu turut menyatakan bahawa 282 lagi kanak-kanak didiagnosis menghidap campak dalam tempoh 24 jam lalu, manakala tambahan 1,278 kanak-kanak dengan gejala campak dimasukkan ke hospital dalam tempoh yang sama.
Sejak 15 Mac, seramai 49,159 kanak-kanak menunjukkan gejala campak. Daripada jumlah itu, 34,909 dimasukkan ke hospital. Dalam kalangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital, 6,819 didiagnosis menghidap campak. Lebih 30,000 pesakit telah dibenarkan pulang.
Pada awal April, kerajaan Bangladesh dengan sokongan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Gavi, Perikatan Vaksin melancarkan kempen kecemasan vaksinasi campak-rubela.
Menurut UNICEF, kempen itu bertujuan melindungi lebih 1.2 juta kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun di 18 daripada 64 daerah pentadbiran negara itu. – Bernama