

PETRA JAYA: Komitmen Sarawak dalam memperkasa pendidikan menerusi pelaksanaan pendidikan tinggi percuma, pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat sebagai langkah strategik untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa depan negeri.
Yang di-Pertua Negeri,Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Sarawak memerlukan modal insan yang mampu menguasai teknologi dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa bagi memastikan negeri ini terus maju dan berdaya saing.
Menurut beliau, bidang seperti hidrogen, aeroangkasa, tenaga hijau, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) memerlukan tenaga kerja profesional dan berkemahiran tinggi.
“Komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasa pendidikan khususnya dalam bidang STEM dan TVET adalah untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional bagi memenuhi keperluan sektor teknologi bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Wan Junaidi berkata, ibu bapa, guru, sekolah dan pemimpin masyarakat perlu bersama-sama memainkan peranan bagi menggalakkan lebih ramai anak Sarawak menceburi bidang STEM dan TVET.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan generasi muda negeri ini memiliki kemahiran yang diperlukan untuk pembangunan masa depan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) mulai tahun ini membuktikan komitmen besar kerajaan negeri dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak Sarawak.
Menurut beliau, menerusi skim tersebut, yuran pengajian bagi kursus terpilih seperti STEM, perubatan dan undang-undang di institusi milik kerajaan negeri termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia dan Kolej Universiti i-CATS akan ditanggung sepenuhnya.
Selain itu katanya, bantuan tambahan seperti elaun sara hidup, komputer riba dan baucar buku turut disediakan menerusi Yayasan Sarawak khususnya kepada pelajar daripada golongan B40.
Beliau berkata, penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) yang menggunakan kurikulum Cambridge turut memberi peluang kepada pelajar layak menikmati pendidikan bertaraf antarabangsa secara percuma.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan sekolah uzur khususnya di kawasan luar bandar perlu terus dinaik taraf supaya pelajar dapat belajar dalam suasana lebih selesa dan kondusif.
“Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam melahirkan generasi muda Sarawak yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan mampu bersaing di peringkat global tanpa dibebani masalah kewangan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembentukan modal insan berkualiti bukan hanya tertumpu kepada aspek akademik dan kemahiran semata-mata, sebaliknya nilai moral, integriti dan etika juga perlu terus dipupuk dalam kalangan generasi muda.
Oleh Shahrul Qaizat